Malaysia raih emas ke-16 di Sukan SEA Pekak 2025

24 Aug 2025 • 7:54 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

JAKARTA, 24 OGOS: Sorakan “Malaysia Boleh” memenuhi ruang GOR Pulo Gadung menyemarakkan semangat perjuangan beregu campuran Edmund Teo Seng Keong-Boon Wei Ying untuk mengesahkan pingat emas milik kontinjen negara ke Sukan SEA Pekak 2025.

Dalam aksi final menentang wakil tuan rumah Christian Agustinus Abas-Dzakiyya Amalia Ma’ ruf, wakil negara yang memenangi set pertama 21-7, mengharungi detik mendebarkan sebelum berjaya mengesahkan emas dengan 26-24, sekali gus mencapai sasaran 16 pingat emas Malaysia.

Edmund yang ditemui pemberita mengakui perlawanan berdepan pemain Indonesia sangat sengit pada set kedua selepas lawan mereka menukar corak permainan.

“Tetapi kami hanya fikir jangan tertekan, fokus dan percaya boleh menang. Syukur, akhirnya kami berjaya membawa pulang emas untuk Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Wei Ying merakamkan penghargaan kepada pihak yang tidak putus memberikan sokongan kepada atlet pekak negara.

“Terima kasih kepada Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara, Kementerian Belia dan Sukan, penaja dan seluruh rakyat Malaysia. Kemenangan ini untuk anda semua. Kami berjanji akan terus berikan yang terbaik buat negara,” katanya.

Ketua Kontinjen Malaysia Sarkunan Balakrisnan berkata ia merupakan detik keramat apabila menyaksikan emas ke-16 berjaya diperoleh menerusi perlawanan epik dan ia sangat membanggakan.

“Saya memang sangat bangga… perlawanan badminton dengan Indonesia hari ini amat sengit. Harapan saya untuk pingat emas ke-16 akhirnya tercapai. Ini adalah kejayaan terbesar yang kita capai bagi mengharumkan nama Malaysia,” katanya.

Malaysia masih berpeluang menambah koleksi emas menerusi acara tenpin boling dan catur yang sedang berlangsung.

- BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved