
HANGZHOU: Kem berbasikal trek negara menyambar dua pingat gangsa masing-masing menerusi trio pecut berpasukan lelaki dan wanita pada Sukan Asia Hangzhou 2022 di Velodrom Pusat Sukan Chun’an Jieshou hari ini.
Namun, tumpuan lebih terarah kepada kejayaan trio wanita, dibarisi Nurul Aliana Syafika Azizan, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dan Anis Amira Rosidi, yang menyaksikan Malaysia meraih pingat sulung dalam acara berkenaan sejak mula dipertandingkan pada edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan.
Pada perlumbaan perebutan gangsa, trio negara itu mencatat masa 49.025 saat (s) untuk menewaskan pasukan Taiwan dibarisi Hsiao Mei-yu, Wang Tzu-chun dan Chen Ching-yun yang merekodkan 50.344s.
China merangkul emas selepas trio Guo Yufang, Bao Shanju dan Yuan Liying memecahkan rekod Asia dan temasya dengan catatan 46.376s, menewaskan Korea Selatan yang diwakili Hwang Hyeonseo, Kim Haeun dan Cho Sunyoung (50.012s).
Rekod Asia 46.446s dan temasya (46.900s) sebelum ini dipegang oleh China.
Sementara itu, gandingan Umar Hasbullah, Muhammad Ridwan Sahrom, Muhammad Fadhil Mohd Zonis mempamerkan kayuhan bertenaga untuk menamatkan saingan pada 44.165s.
Catatan itu sudah cukup untuk mengatasi cabaran wakil Taiwan Yang Sheng-Kai, Kang Shih-Feng dan Hsiao Shih-Hsin yang gagal menyaingi kepantasan trio negara apabila merekodkan 44.276s.
Bagaimanapun, pasukan Malaysia yang turun tanpa kelibat jagoan Datuk Mohd Azizulhasni Awang, gagal mempertahankan perak yang dimenangi pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia.
Emas menjadi milik pelumba Jepun Yoshitaku Nagasako, Kaiya Ota dan Yuta Obara selepas merakam masa 42.934s yang juga rekod baharu temasya, manakala Guo Shuai, Zhou Yu dan Liu Qi daripada China meraih perak dengan catatan 42.968s. -Bernama

