
PUTRAJAYA, 24 Ogos (Bernama) -- Malaysia merekodkan lebih 21 juta ketibaan pelawat antarabangsa pada separuh pertama 2026, meningkat 2.5 peratus meskipun ketegangan geopolitik di Asia Barat menyebabkan 4,111 penerbangan berjadual ke negara ini dibatalkan.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata data Tourism Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia menunjukkan sebanyak 21,118,039 ketibaan direkodkan antara Januari hingga Jun, meningkat 514,958 ketibaan atau 2.5 peratus berbanding 20,603,081 yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lepas.
Beliau bagaimanapun berkata kadar itu adalah pertumbuhan terendah bagi tempoh sama sejak pemulihan pascapandemik bermula, dengan ketibaan 26 daripada 50 pasaran sumber utama mencatatkan penurunan.
“Ini terutamanya disebabkan oleh kesan ketegangan geopolitik di Asia Barat terhadap operasi penerbangan antarabangsa, yang seterusnya menjejaskan pasaran perjalanan ke luar negara di seluruh dunia,” katanya pada sidang media bersempena dengan Laporan Prestasi Separuh Pertama 2026 di sini hari ini.
Tiong berkata Eropah dan Asia Barat menjadi antara pasaran yang paling terjejas, dengan Perancis satu-satunya daripada tiga pasaran utama Eropah yang mencatatkan pertumbuhan manakala ketibaan dari Britain dan Jerman menurun.
Beliau berkata Jerman merekodkan pertumbuhan negatif buat kali pertama sejak pasaran pelancongan mula pulih selepas pandemik. Ketibaan dari Turkiye, Rusia, Sepanyol dan Poland meningkat manakala pasaran seperti Belanda, Itali, Belgium, Arab Saudi, Oman dan Mesir terjejas pada tahap berbeza.
“Konflik itu turut menyebabkan kenaikan harga bahan api antarabangsa, meningkatkan kos perjalanan ke luar negara dan menjejaskan perjalanan dari wilayah lain, termasuk India di Asia Selatan serta Taiwan dan Korea Selatan di Asia Timur Laut,” katanya.
Tiong bagaimanapun berkata pertumbuhan berterusan dari Singapura, Filipina, China, Asia Tengah, Oceania dan Amerika Utara membantu Malaysia mengekalkan peningkatan keseluruhan sebanyak 2.5 peratus.
Beliau berkata Malaysia menerima 88,058 penerbangan antarabangsa dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, berbanding 91,486 penerbangan yang dijadualkan pada asalnya.
Menurut Tiong, sebanyak 4,111 penerbangan dibatalkan akibat ketegangan geopolitik, namun penambahan 683 penerbangan baharu menjadikan jumlah keseluruhan hanya 3,428 penerbangan atau 3.7 peratus lebih rendah daripada jadual asal.
“Kesan konflik di Asia Barat jelas tergambar dalam operasi penerbangan. Sejak konflik bermula pada Februari, bilangan penerbangan berjadual yang dibatalkan setiap bulan terus meningkat,” katanya.
Menurut Tiong, sembilan penerbangan dibatalkan pada Februari sebelum meningkat kepada lebih 300 pada Mac, hampir 1,000 pada April dan 1,419 pada Jun.
Beliau berkata kapasiti tempat duduk sebenar berjumlah kira-kira 17.63 juta, iaitu 3.9 peratus lebih rendah daripada unjuran awal sebanyak 18.34 juta.
Tiong bagaimanapun berkata angka itu masih meningkat enam peratus atau lebih sejuta tempat duduk berbanding 16.627 juta dalam tempoh sama tahun lepas.
“Jaringan penerbangan antarabangsa negara terus berkembang dengan pengenalan 23 laluan baharu, 12 perkhidmatan penerbangan baharu ke Malaysia dan sembilan perkhidmatan sewa khas antara Januari hingga Julai,” katanya.
Beliau berkata penerbangan dari Asia Timur Laut mencatatkan pertambahan kapasiti terbesar, iaitu lebih 500,000 tempat duduk atau 11.9 peratus, diikuti negara ASEAN sebanyak 376,423 tempat duduk atau 4.5 peratus.
“Penurunan paling ketara dilihat pada penerbangan dari Asia Barat apabila kapasiti tempat duduk merosot daripada lebih satu juta pada enam bulan pertama tahun lepas kepada 806,532 pada separuh pertama tahun ini.
“Ini termasuk penerbangan dari Eropah yang menggunakan Asia Barat sebagai hab transit, dengan kapasiti tempat duduk merosot lebih 20 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas,” katanya.
Tiong berkata kesan pembatalan penerbangan itu turut tergambar dalam pertumbuhan ketibaan pelawat antarabangsa ke Malaysia yang lebih perlahan.
Baca juga:Beliau berkata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) kini memperkukuh strategi pemasaran di pasaran Asia, khususnya Asia Tenggara dan Asia Timur Laut sebagai tindak balas terhadap perubahan keadaan global.
Menurut Tiong, Tahun Melawat Malaysia turut dilanjutkan hingga 2027 bagi mengekalkan momentum pertumbuhan industri pelancongan negara.
-- BERNAMA





