MSM kembali untung, raih RM23.43 juta pada suku kedua

LocalBusiness & Finance
24 Aug 2026 • 5:38 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: MSM kembali untung, raih RM23.43 juta pada suku kedua

PETALING JAYA: MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) kembali meraih keuntungan bersih sebanyak RM23.43 juta bagi suku kedua tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026, berbanding rugi bersih RM29.74 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

Prestasi yang lebih baik itu didorong terutamanya oleh margin yang lebih tinggi serta pengurangan perbelanjaan operasi lain.

Dalam pemfailan di Bursa Malaysia, pengeluar jenama gula bertapis, Gula Prai itu melaporkan hasil sebanyak RM608 juta pada suku sama, menurun daripada RM813 juta bagi tempoh sama 2025, terutamanya disebabkan harga jualan purata dan jumlah jualan yang lebih rendah.

Bagi enam bulan pertama, MSM mencatatkan untung bersih sebanyak RM4.58 juta berbanding rugi bersih sebanyak RM26 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya, manakala pendapatan sebanyak RM1.16 bilion, daripada RM1.56 bilion.

Penurunan jumlah hasil bagi tempoh tersebut didorong terutamanya oleh harga jualan purata (ASP) dan jumlah jualan yang lebih rendah.

Walaupun hasil menurun, margin keuntungan kasar bertambah baik berbanding tahun sebelumnya, disokong campuran jualan yang lebih menguntungkan dengan tumpuan kepada produk bermargin lebih tinggi, sekali gus membantu mengurangkan kesan daripada penurunan ASP.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Dr. Aini Shahar berkata, kembali mencatat keuntungan pada suku kedua adalah satu perkembangan positif, namun hasil dan kadar penggunaan kapasiti masih berada di bawah paras tempoh sama tahun lalu dan persekitaran operasi terus mencabar.

“Kami memberi keutamaan kepada jualan bermargin lebih tinggi, menyelaraskan pengeluaran mengikut permintaan serta mengekalkan disiplin kos yang ketat.

“Fokus segera kami adalah untuk melindungi margin dan mengekalkan keuntungan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, MSM akan terus memberi keutamaan kepada produk bermargin lebih tinggi dalam pasaran domestik selain mengoptimumkan campuran produk dan strategi jualan.

“Pengekalan keuntungan bergantung kepada disiplin berterusan dan keupayaan kami untuk bertindak balas terhadap tekanan pasaran serta kos,” katanya.

Melangkah ke hadapan, beliau berkata, industri gula dijangka kekal mencabar bagi baki 2026, dengan tekanan kos berterusan dan persaingan daripada gula import dalam pasaran domestik yang memberi tekanan terhadap margin.

“MSM terus berunding dengan kerajaan bagi memuktamadkan rangka kerja penetapan harga yang mampan untuk melindungi keselamatan makanan negara serta menyokong daya maju industri gula domestik dalam jangka panjang.

“Dalam perkembangan itu, MSM akan terus memberi tumpuan kepada perlindungan margin, disiplin kos dan kecekapan operasi,” jelasnya. – UTUSAN

The post MSM kembali untung, raih RM23.43 juta pada suku kedua appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved