
Aktiviti perlombongan wang kripto seperti Bitcoin meningkat tahun lalu di Malaysia selepas nilainya melonjak dua kali ganda dipacu oleh sokongan oleh Presiden Trump. Pemilik Bitcoin untung besar tetapi pada waktu yang sama negara kerugian mencecah RM700 juta akibat aktiviti kecurian elektrik oleh pelombong kripto.

Ini disahkan oleh Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad semalam. Aktiviti kecurian elektrik semakin meluas dengan ia bukan sahaja berlaku di premis perniagaan tetapi kini juga di kawasan perumahan. Pemilik rumah diingatkan supaya lebih berhati‑hati terhadap penyewa kerana mereka boleh dipertanggungjawabkan jika berlaku kesalahan.
Kerajaan menyarankan pemilik rumah memindahkan akaun elektrik TNB kepada penyewa untuk memastikan tanggungjawab penggunaan elektrik ditanggung pengguna sebenar.
Antara kes melibatkan aktiviti perlombongan kripto haram berlaku tahun lalu. Seorang tuan rumah di Ipoh terpaksa menanggung bil elektrik berjumlah RM 1,142,511.75 selepas penyewa menggunakan premis milik mereka untuk melakukan perlombongan kripto secara haram. Pada Julai 2024 pula, TNB mengatakan mereka kerugian hasil tenaga sebanyak RM3.4 bilion sepanjang lima tahun antara 2018-2023.





