amree05/05/2026 - 15:00 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Mei — Rapid Synergy Berhad mencatatkan peningkatan keuntungan bersih kepada sebanyak RM19.62 juta bagi tempoh kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2025 (FY25).
Kenaikan 178.38% berbanding hanya RM7.05 juta pada FY24 itu didorong terutamanya oleh keuntungan daripada pelupusan hartanah pelaburan yang berjaya direalisasikan bagi membuka nilai portfolio.
Berdasarkan laporan tahunan yang dikemukakan kepada Bursa Malaysia, kumpulan tersebut katanya, berjaya mencatatkan jumlah pendapatan keseluruhan sebanyak RM22.51 juta bagi tempoh berkenaan.
"Keuntungan sebelum cukai (PBT) RM25.23 juta disumbangkan secara signifikan oleh bahagian pelaburan hartanah yang merekodkan RM28.09 juta, daripada keuntungan pelupusan asset," ujar Rapid Synergy.
Bagaimanapun jelas kumpulan berkenaan, bahagian pembuatan pula melaporkan kerugian sebelum cukai (LBT) sebanyak RM2.91 juta, di sebalik hasil diperolehnya yang mencecah kira-kira RM13.33 juta.
Prestasi hambar sektor ini berpunca akibat perbelanjaan pentadbiran lebih tinggi serta persekitaran pasaran yang mencabar, termasuk pertumbuhan perlahan dalam permintaan cip bagi sektor automotif.
Selain itu Rapid Synergy memaklumkan yang tempoh kewangan kali ini merangkumi jangka masa 18 bulan berikutan pertukaran tarikh akhir tahun kewangan kumpulan daripada 30 Jun kepada 31 Disember.
"Sehubungan itu, bagi kedudukan aliran tunai secara keseluruhan, kumpulan berkenaan masih mempunyai baki tunai dan kesetaraan tunai sebanyak RM6.73 juta setakat akhir Disember 2025," tambahnya lagi.
Lembaga Pengarah namun tidak mencadangkan sebarang pembayaran dividen bagi tempoh tersebut sebagai langkah memastikan pemuliharaan dana untuk modal kerja dan pelaburan pada masa hadapan.
Melangkah ke FY26, Rapid Synergy kekal berhati-hati terhadap kedudukan tunai dan pulangan pelaburan hartanah, manakala bahagian pembuatan akan terus melaksanakan rasionalisasi kos pengeluaran.
Kumpulan itu juga berhasrat meningkatkan proses operasi bagi mengekalkan margin sihat. Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-30 akan diadakan pada 19 Jun 2026 di Bayan Lepas, Pulau Pinang. - DagangNews.com






