Malaysia sambut baik pendirian Australia terhadap Gaza, sokong usaha keamanan berkekalan - Anwar

LocalPolitics
16 Apr 2026 • 2:08 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anwar (kanan) bersama Albanese pada sidang akhbar dan kenyataan bersama di Kompleks Perdana Putra hari ini. - Foto: Bernama

PUTRAJAYA - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik pendirian Australia yang menggesa penamatan permusuhan di Gaza serta menyokong bantuan kemanusiaan terhadap rakyat Palestin.

Anwar menyifatkan pendirian itu sebagai langkah penting ke arah penyelesaian yang berkekalan.

"Saya menghargai pendirian Australia mengenai Gaza, yang menyeru agar permusuhan ditamatkan, menyokong bantuan kemanusiaan dan berusaha ke arah penyelesaian yang berkekalan. Pendirian itu amat bermakna dan Malaysia mengalu-alukannya,” kata Perdana Menteri.

Anwar berkata demikian pada sidang media bersama rakan sejawatnya Anthony Albanese di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, Malaysia akan terus berpegang teguh kepada sokongan terhadap sebuah negara Palestin yang berdaulat walaupun keganasan masih berterusan di Gaza dan Tebing Barat.

Beliau berkata, gencatan senjata di Gaza masih belum diterjemahkan kepada kelegaan yang sangat diperlukan bagi orang awam, sambil menyatakan bahawa keganasan dan penderitaan terus berlanjutan walaupun usaha diplomatik masih diteruskan.

"Dunia tidak boleh mengalihkan pandangan dan membiarkan gencatan senjata terkubur begitu sahaja.

"Apa yang diperlukan oleh rakyat Palestin ialah penyelesaian yang adil dan berkekalan, dan ini bermaksud sebuah negara berdaulat yang berdaya maju. Malaysia tidak akan berganjak dalam perkara yang melibatkan prinsip ini,” katanya.

Anwar menegaskan bahawa pendirian Malaysia terhadap Palestin berlandaskan prinsip, dengan menekankan keperluan kepada penyelesaian politik yang adil dan berkekalan yang menjamin hak serta keselamatan rakyat Palestin.

Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Albanese atas lawatan ke Kuala Lumpur serta menekankan kepentingan dialog berterusan dan kerjasama antara kedua-dua negara dalam menghadapi cabaran global yang sentiasa berubah.

Beliau berkata Malaysia dan Australia akan terus memperkukuh hubungan dua hala menjelang Mesyuarat Tahunan Pemimpin Kali Keempat yang akan datang, yang dijadualkan berlangsung di Australia. - Bernama

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved