Malaysia sedia hulur bantuan bencana ke negara ASEAN

25 Nov 2026 • 4:55 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Malaysia sedia hulur bantuan bencana ke negara ASEAN

PUTRAJAYA: Malaysia bersedia membantu negara anggota ASEAN yang dilanda bencana, termasuk menyokong usaha menggerakkan bantuan kemanusiaan secara bersama ke negara di luar rantau itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, misi berkenaan boleh digerakkan atas permintaan negara terjejas berdasarkan keperluan di lapangan dan kemampuan ASEAN, selain menghormati kedaulatan negara berkenaan serta prinsip kemanusiaan.

Beliau berkata, latihan bersama akan dimanfaatkan bagi menguji mekanisme perkongsian maklumat, permohonan bantuan dan penyelarasan penyaluran bantuan kepada komuniti terjejas.

“Setiap amaran awal bencana perlu disusuli tindakan yang telah dipersetujui sebelum bencana melanda,” katanya.

Komitmen itu disampaikan Ahmad Zahid ketika menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Pengurusan Bencana (AMMDM) Ke-14 di Jakarta, Indonesia hari ini.

Katanya, agensi berkaitan perlu mengetahui tindakan yang perlu diambil sebaik amaran dikeluarkan, termasuk masa pemindahan dimulakan, penyediaan pengangkutan, pembukaan pusat pemindahan serta penggerakan dana kecemasan.

Ahmad Zahid berkata, di Malaysia sebagai contoh, usaha itu sedang dilaksanakan menerusi pembangunan Strategi Pengurangan Risiko Bencana Negeri di bawah Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030.

Menurutnya, Kerajaan Persekutuan bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi memastikan risiko setempat diambil kira dalam perancangan pembangunan, reka bentuk infrastruktur dan perlindungan perkhidmatan asas.

“Komuniti setempat juga perlu dilibatkan dalam menguji pelan pemindahan serta mengenal pasti penduduk yang memerlukan bantuan untuk ke tempat selamat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Malaysia menyokong cadangan memperkukuh kerjasama di peringkat menteri menerusi AMMDM Plus bersama Australia, Kanada, Kesatuan Eropah, India dan New Zealand.

Katanya, setiap mesyuarat AMMDM Plus perlu menghasilkan komitmen jelas untuk dilaksanakan bersama, merangkumi latihan teknikal, perkongsian kepakaran, pemindahan teknologi dan sokongan kepada pelaksanaan Program Kerja AADMER 2026–2030.

Malaysia turut menyampaikan hasrat untuk meneruskan sumbangan AS$100,000 kepada Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan ASEAN bagi Pengurusan Bencana (Pusat AHA) bagi menyokong peranannya menyelaras bantuan bencana di rantau ini.

Ahmad Zahid berkata, Malaysia akan terus bekerjasama dengan negara anggota ASEAN, Sekretariat ASEAN dan Pusat AHA bagi memperkukuh kesiapsiagaan serta mempercepat penyaluran bantuan apabila diperlukan. – UTUSAN

The post Malaysia sedia hulur bantuan bencana ke negara ASEAN appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved