JAKARTA - Malaysia menyokong usaha menggerakkan misi bantuan kemanusiaan secara bersama oleh negara anggota ASEAN ke luar rantau dan bersedia membantu negara anggota yang dilanda bencana.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, misi berkenaan boleh dilaksanakan atas permintaan negara terjejas mengikut keperluan di lapangan dan kemampuan ASEAN dengan menghormati kedaulatan negara terbabit serta prinsip kemanusiaan.
"Bagi memastikan komitmen ini dapat diterjemahkan kepada tindakan, latihan bersama akan dimanfaatkan untuk menguji cara negara anggota berkongsi maklumat, memohon bantuan dan menyelaras penyalurannya kepada komuniti yang terjejas," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kenyataan negara pada Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Pengurusan Bencana (AMMDM) Ke-14 di Jakarta, Indonesia pada Rabu.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid berkata, Malaysia menyokong cadangan memperkukuh kerjasama di peringkat menteri dengan Australia, Kanada, Kesatuan Eropah, India dan New Zealand menerusi AMMDM Plus.
Ujar beliau, Malaysia mahu setiap mesyuarat AMMDM Plus menghasilkan komitmen jelas untuk dilaksanakan menerusi latihan teknikal, perkongsian kepakaran, pemindahan teknologi dan sokongan kepada pelaksanaan Program Kerja Perjanjian ASEAN Mengenai Pengurusan Bencana dan Tindak Balas Kecemasan (AADMER) 2026–2030.
"Malaysia turut menyampaikan hasrat meneruskan penyaluran sumbangan AS$100,000 (RM411,940) kepada Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan ASEAN bagi Pengurusan Bencana (Pusat AHA) bagi menyokong peranannya menyelaras bantuan bencana di rantau ini.
"Malaysia akan terus bekerjasama dengan negara anggota ASEAN, Sekretariat ASEAN dan Pusat AHA untuk memperkukuh kesiapsiagaan serta mempercepat penyaluran bantuan.
"Komitmen yang kita persetujui di peringkat serantau ini mesti diterjemahkan kepada tindakan bersama dengan berkongsi maklumat risiko lebih awal, menyelaraskan persediaan antara negara dan menggerakkan bantuan segera apabila diperlukan," katanya.
Dalam pada itu, tambah beliau, setiap amaran awal bencana perlu disusuli tindakan yang telah dipersetujui bagi memastikan agensi terlibat bersedia sebelum bencana berlaku.
Menurutnya, setiap agensi perlu mengetahui tindakan yang perlu diambil sebaik sahaja amaran bencana dikeluarkan, termasuk urusan pemindahan, penyediaan pengangkutan, pembukaan pusat pemindahan dan cara menggerakkan dana kecemasan.
"Di Malaysia, langkah ini sedang digerakkan melalui pembangunan Strategi Pengurangan Risiko Bencana Negeri di bawah Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030.
"Kerajaan Persekutuan sedang bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk memastikan risiko setempat diambil kira dalam menentukan lokasi pembangunan, reka bentuk infrastruktur dan melindungi perkhidmatan asas.
"Komuniti setempat juga perlu dilibatkan dalam menguji pelan pemindahan dan mengenal pasti penduduk yang memerlukan bantuan untuk sampai ke tempat selamat," katanya.





