Malaysia Seru Kerjasama Daya Jangka Lebih Kukuh, Data Rangka Kerja Merentas Asia

22 Oct 2025 • 3:58 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Malaysia Seru Kerjasama Daya Jangka Lebih Kukuh, Data Rangka Kerja Merentas Asia

Malaysia menyeru ahli Association of Academies and Societies of Sciences in Asia (AASSA) untuk memperkukuh inisiatif daya jangka negara mereka dan bekerjasama untuk menyelaraskan rangka kerja data bagi mempertingkatkan daya tahan bersama dan perkongsian kemakmuran di rantau ini.

“Kami menggalakkan semua ahli AASSA untuk mengukuhkan inisiatif daya jangka negara mereka. Malaysia bersedia untuk bekerjasama dalam perkongsian metodologi dan menerokai cara untuk mengharmonikan rangka data kerja, supaya kita boleh bersama-sama mentransformasikan daya jangka kepada kaedah yang praktikal untuk daya tahan dan kemakmuran bersama,” kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) YB Dato’ Dr Hj Mohammad Yusof Hj Apdal.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Bengkel ASM-AASSA mengenai “Menangani Cabaran Global Dunia Pascanormal”.

YB Dato’ Dr Hj Mohammad Yusof menekankan komitmen Malaysia terhadap perancangan berpandukan daya jangka melalui beberapa inisiatif yang berterusan.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, laporan analisis megatrend berkala yang dibangunkan menggunakan pendekatan daya jangka akan diterbitkan bagi membimbing dan memaklumkan pelaksanaan aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (RDCI).

Beliau juga mengumumkan bahawa Malaysia, bersama-sama kohort penyelidik dari Negara Anggota ASEAN, telah menghasilkan laporan “ASEAN Ahead: ASEAN STI Ecosystem Foresight 2035 and Beyond” melalui Akademi Sains Malaysia (ASM), yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 24 Oktober 2025.

Laporan itu menetapkan pelan tindakan strategik untuk mengukuhkan kedudukan ASEAN sebagai “global powerhouse”.

“Perkara ini menuntut satu anjakan paradigma dalam cara kita memahami cabaran global, termasuk bagaimana kita menggerakkan sains, inovasi dan kerjasama bagi memastikan kita bukan sekadar bertindak balas terhadap perubahan, tetapi turut proaktif membentuknya,” ujar Presiden ASM merangkap Penasihat Sains, Teknologi dan Inovasi kepada Perdana Menteri dan Negara.

Cadangan Malaysia untuk Perikatan Sains Terbuka APEC (APECOSA) juga diketengahkan sebagai sebahagian daripada usaha yang lebih meluas untuk menggalakkan perkongsian data yang terbuka dan bertanggungjawab.

Disokong oleh ekonomi APEC, APECOSA menyasarkan untuk menghubungkan pusat tumpuan sains terbuka di seluruh rantau APEC menjelang tahun 2026.

“Saya menjemput kita semua mengamalkan perkongsian data yang terbuka dan bertanggungjawab. MOSTI percaya ahli-ahli AASSA dapat menyumbang secara bermakna dalam usaha ini dengan menyelaraskan kepakaran serantau dengan inisiatif global serta memastikan pengetahuan saintifik dapat diakses dan memberi impak,” tambah YB Dato’ Dr Hj Mohammad Yusof.

Bengkel anjuran bersama AASSA dan ASM dari 22 hingga 23 Oktober 2025, menghimpunkan lebih 100 peserta dan wakil daripada akademi-akademi, masyarakat saintifik dan pemain industri untuk membincangkan pendekatan berasaskan sains bagi menangani cabaran global yang kompleks.