Kronologi Asia meterai kerjasama strategik dengan LT Zero bagi rumusan simpanan data AI

07/10/2025 - 14:22
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 7 Okt - Kronologi Asia Berhad memeterai kerjasama dengan LT Zero Pte Ltd, sebuah syarikat yang bekerjasama dengan peneraju global dalam sistem simpanan data, BDT Media Automation GmbH (BDT).
Kumpulan itu berkata, kerjasama itu akan memberi tumpuan kepada rumusan simpanan arkib BDT, iaitu Orion MC6 bagi memenuhi keperluan simpanan perusahaan dan pusat data berskala besar.
Rumusan tersebut katanya, menawarkan platform selamat dan boleh dikembangkan untuk menyimpan data dalam skala petabait selama tempoh 100 tahun dengan kos yang berpatutan serta cekap tenaga - sekali gus menjadi pilihan hijau dan mampan untuk penyimpanan data jangka panjang.
Ketua Pegawai Eksekutif Kronologi Asia, Edmond Tay berkata, kerjasama itu merupakan langkah penting dalam menyesuaikan diri dengan perubahan asas dalam ekonomi global.
"Dengan menggabungkan teknologi terkini BDT, kami sedang mengukuhkan kebolehpercayaan operasi serta peranan kami sebagai peneraju pengurusan data serantau di seluruh Asia," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) BDT, Marc Steinhilber berkata, pertumbuhan pesat data yang didorong AI, peningkatan risiko keselamatan siber, keperluan kawal selia serta faktor kemampanan dan kerjasama itu membolehkan BDT menembusi pasaran tempatan dan terus mengembangkan bahagian pasaran bersama rakan strategik.
“Apabila penyedia awan menjadi pengguna utama simpanan arkib, kerjasama dengan Kronologi itu membolehkan BDT menembusi pasaran tempatan dengan lebih berkesan dan mengukuhkan kedudukan pasaran kami bersama rakan kongsi yang dipercayai,” katanya.- DagangNews.com
standard


