Malaysia-Singapura Akan Bekerjasama Perangi Jenayah Siber, Penipuan - Fahmi

30 Jan 2023 • 7:26 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Fahmi bersama Josephine selepas menandatangani MoU di antara Malaysia dan Singapura yang disaksikan oleh Anwar Ibrahim dan Lee Hsien Loong. - Gambar oleh Aziman Rosli/Jabatan Perdana Menteri

SINGAPURA - Memorandum persefahaman untuk menggalakkan kerjasama mengenai data, keselamatan siber dan ekonomi digital yang ditandatangani oleh Malaysia dan Singapura bertujuan untuk menghapuskan atau mengurangkan ancaman rentas sempadan penipuan siber dan kecurian data, antara lain.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil memberitahu sidang akhbar di sini, hari ini bahawa kedua-dua negara akan bertukar-tukar data untuk memastikan keselamatan siber yang lebih baik bagi kedua-dua negara.

“Kami akan bertukar maklumat mengenai isu penting seperti perlindungan data rentas sempadan yang berterusan melibatkan orang atau organisasi.

“Ini yang kita kaji secara terperinci terutama mengenai penipuan dan kecurian data, di mana penjenayah tidak berada di negara ini tetapi berada di negara lain. Ini akan membolehkan agensi penguatkuasaan dari kedua-dua negara bekerjasama sambil menjalin hubungan yang lebih kukuh.

“Kami sedang melihat ancaman yang ditimbulkan oleh penjenayah ini, di mana setiap minggu mereka cuba menggodam pangkalan data kami di Malaysia. Isunya kita belum kenal pasti di mana mereka berada dan inilah kerjasama yang perlu kita tingkatkan,” kata Fahmi.

Terdahulu, Fahmi telah menandatangani perjanjian itu bagi pihak Malaysia dengan Menteri Komunikasi dan Penerangan republik itu Josephine Teo.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong menyaksikan upacara itu di Istana. - The Vibes, 30 Januari 2023