
KUALA LUMPUR: Kerjasama teknikal antara Kolej Teknologi Termaju Jabatan Tenaga Manusia (ADTEC JTM) dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Singapura berpotensi membuka lebih banyak ruang kepada pelajar tempatan mendapat pendedahan antarabangsa dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, cadangan itu dikemukakan semasa lawatan kerjanya ke ITE Singapura sebagai sebahagian usaha Kesuma memperluas jaringan kerjasama strategik antarabangsa dalam bidang TVET.
Beliau berkata, sambutan positif itu merupakan perkembangan positif yang membuka ruang kepada kedua-dua pihak untuk memperincikan bentuk kerjasama, termasuk peluang pertukaran pelajar serta perkongsian pengetahuan dan prinsip amalan ‘best practices’ dalam latihan teknikal dan kemahiran.
“Hasrat saya adalah untuk melihat pelajar ADTEC JTM mendapat pendedahan yang lebih luas menerusi program ini. Oleh itu, saya telah menyatakan cadangan ini semasa lawatan dan pihak ITE Singapura telah memberikan maklum balas positif.
“Ini bukan sekadar mengenai pertukaran pelajar, tetapi bagaimana kita boleh menggunakan kerjasama ini untuk memperkukuh institusi TVET kita, meningkatkan pendedahan antarabangsa dan memastikan latihan yang diberikan sentiasa selari dengan perkembangan teknologi serta keperluan industri,” katanya dalam kenyataan.
Ramanan berkata, kerjasama itu juga berpotensi memberi peluang kepada pelajar untuk memahami pendekatan latihan teknikal dalam persekitaran yang berbeza, membina jaringan serta berkongsi pengalaman dan pengetahuan dengan pelajar dari negara jiran.
“Pembangunan TVET tidak boleh bergerak secara bersendirian sebaliknya, ia memerlukan kerjasama erat dengan industri serta institusi latihan berkemahiran di peringkat serantau dan antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata, perubahan teknologi, automasi, kecerdasan buatan (AI) serta kemunculan pekerjaan baharu menuntut institusi TVET sentiasa menyesuaikan kandungan latihan dan pendekatan pembelajaran dengan keperluan sebenar pasaran pekerjaan.
“Kita mahu ADTEC JTM terus bergerak ke hadapan. TVET tidak boleh hanya menyediakan tenaga kerja untuk memenuhi keperluan industri hari ini, tetapi mesti mampu melahirkan tenaga mahir yang bersedia untuk memenuhi keperluan industri masa hadapan.
“Justeru, kerjasama strategik seperti ini penting supaya kita dapat berkongsi kepakaran, mempelajari amalan terbaik dan seterusnya membawa pulang pengetahuan tersebut untuk memperkukuh ekosistem TVET negara,” katanya.
Tambahnya, Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) akan mengambil tindakan susulan bersama pihak berkaitan bagi memperincikan mekanisme dan skop program berkenaan sebelum ia dapat direalisasikan.-UTUSAN
The post Malaysia, Singapura bekerjasama perkukuh bidang TVET appeared first on Utusan Malaysia.





