Malaysia sokong usaha Pakistan reda ketegangan Iran-AS

1 Oct 2026 • 8:10 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Malaysia sokong usaha Pakistan reda ketegangan Iran-AS

PETALING JAYA: Malaysia menyokong penuh usaha Pakistan sebagai pemudah cara dalam rundingan damai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran  bagi meredakan ketegangan politik serta keselamatan yang melanda wilayah berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ruang dialog dan saluran diplomasi perlu sentiasa diperkasakan demi memastikan kestabilan serta keamanan yang berkekalan dapat dicapai.

Beliau berkata demikian semasa menerima panggilan telefon daripada Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif hari ini.

“Saya menzahirkan penghargaan atas peranan Pakistan memudah cara rundingan damai AS-Iran, selain menekankan pendekatan diplomasi perlu diutamakan bagi meredakan ketegangan yang berlaku.

“Kami juga menyentuh mengenai cadangan lawatan Ketua Staf Tentera Darat Pakistan, Field Marshal Asim Munir ke Malaysia yang beberapa kali tertangguh sebelum ini. Saya mengalu-alukan kedatangan beliau pada bila-bila masa tanpa terikat dengan protokol rasmi,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Menurut Anwar, perbualan tersebut turut menyentuh aspek ekonomi terutamanya membabitkan sektor eksport daging yang akan disusuli oleh pasukan teknikal kedua-dua negara bagi meluaskan potensi kerjasama perdagangan.

Dalam pada itu, Shehbaz turut mengambil kesempatan menyampaikan ucapan takziah atas pemergian abang sulung Perdana Menteri, Allahyarham Idrus Ibrahim.

Beliau turut menzahirkan ucapan takziah kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad atas pemergian isteri beliau, Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali.

Mengulas lanjut, Anwar menegaskan keakraban serta hubungan persahabatan antara Malaysia dan Pakistan perlu terus diterjemahkan menerusi pelbagai usaha nyata yang mampu memberi manfaat secara langsung kepada rakyat kedua-dua negara. – UTUSAN

The post Malaysia sokong usaha Pakistan reda ketegangan Iran-AS appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved