Malaysia tidak mengabaikan hak asasi manusia dalam menangani isu pelarian Rohingya, sebaliknya terus berusaha mencari penyelesaian menerusi rundingan dan hubungan diplomatik dengan Myanmar.
Pendekatan diambil bagi bantu kurangi penderitaan Rohingya
Memetik laporan daripada Buletin TV3, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan, pendekatan itu diambil bagi membantu mengurangkan penderitaan etnik Rohingya yang sekian lama berdepan tekanan di negara berkenaan, namun ia tidak bermaksud Malaysia merestui segala tindakan Myanmar.
Menurutnya, usaha menjalin hubungan diplomatik dengan Myanmar perlu diteruskan bagi mencari jalan penyelesaian, memandangkan pendekatan mengecam negara itu selama 20 hingga 30 tahun tidak membawa perubahan dasar yang ketara.
“Apakah mencukupi? Tidak. Apakah dengan ini saya merestui semua keterlanjuran dia? Tidak. Tetapi saya fikir ini jalan sementara yang boleh kita lakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai isu Rohingya pada sesi soal jawab selepas Majlis Ilmu MADANI bersama Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana.

Kerajaan berusaha dapatkan kerjasama Myanmar
Menerusi sesi tersebut juga, Anwar menjelaskan kerajaan turut berusaha mendapatkan kerjasama Myanmar bagi menangani isu pelarian, termasuk menerusi perbincangan dengan pemimpin negara itu mengenai penghantaran pulang mereka.
Ujarnya, seramai 10,300 individu pelarian dari Myanmar sudah dibawa pulang ke negara berkenaan menggunakan pesawat dan kapal, dengan kos pengangkutan ditanggung oleh Myanmar.

Tambah beliau, Myanmar turut menyatakan komitmen untuk membawa pulang 3,000 lagi individu pada bulan ini.
Walau bagaimanapun, aspek keselamatan pelarian yang dihantar pulang kekal menjadi antara perkara penting yang dibangkitkan Malaysia dalam perbincangan berkenaan.
“Dalam di antara syaratnya, kita kata mesti jamin keselamatan mereka. Tapi di negara dia, ada terbatas usaha kita,” katanya.
Anwar menegaskan bahawa kerajaan tidak pernah mengetepikan keperluan mendapatkan kerjasama Myanmar bagi memastikan kebajikan pelarian terus diberi perhatian, meskipun usaha menyelesaikan isu berkenaan berdepan pelbagai kekangan.
Sumber: Buletin TV3 (Syafiqah Damanhuri)






