johardy06/08/2026 - 12:21 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Ogos - Malaysia dijangka menerima impak yang secara relatif terhad daripada tarif baharu Amerika Syarikat (AS) di bawah Seksyen 301 apabila hanya eksport bernilai RM63.3 bilion, atau 4.2% daripada jumlah eksport negara, dianggarkan tertakluk kepada tarif tersebut, menurut Phillip Capital Research.
Firma penyelidikan itu berkata, kesannya dijangka sederhana walaupun Malaysia dikenakan kadar tarif utama sebanyak 10%, memandangkan semikonduktor serta sebahagian besar produk elektrik dan elektronik (E&E) dikecualikan daripada tindakan berkenaan.
Berdasarkan purata nilai eksport tahunan Malaysia bagi tempoh 2023 hingga 2025, Phillip Capital menganggarkan sebanyak 68% daripada eksport negara ke AS tidak tertakluk kepada tarif tersebut.
Hampir keseluruhan eksport semikonduktor ke AS dikecualikan dengan kadar pengecualian mencecah 99.9%.
Bagi produk E&E lain, kadar pengecualian ialah 67.1%, manakala 45.4% daripada eksport bukan E&E turut dikecualikan.
"Impak dasar tarif baharu itu terhadap ekonomi Malaysia adalah relatif sederhana walaupun kadar tarif utamanya ialah 10%," katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.
Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) mengumumkan tindakan muktamad itu pada 23 Julai 2026 waktu AS selepas selesai menjalankan siasatan terhadap 60 ekonomi berhubung usaha mereka menghalang import barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa.
Tarif berkenaan mula berkuat kuasa pada 24 Julai 2026 waktu AS dengan kadar 10% atau 12.5%, bergantung kepada kekuatan dasar perlindungan buruh dan penguatkuasaan setiap ekonomi terbabit.
Malaysia ialah antara 17 ekonomi yang dikenakan tarif Seksyen 301 pada kadar 10%.
Tindakan tarif itu turut merangkumi senarai pengecualian produk secara sejagat yang terpakai kepada semua ekonomi terlibat, selain pengecualian khusus mengikut negara.
Semikonduktor jadi benteng utama
Phillip Capital berkata, semikonduktor dan produk E&E dijangka terus menjadi pemacu utama prestasi eksport Malaysia pada separuh kedua 2026.
Memandangkan semikonduktor dan kebanyakan produk E&E termasuk dalam senarai pengecualian sejagat AS, rantaian bekalan semikonduktor global dijangka tidak mengalami gangguan ketara akibat dasar tarif baharu itu.
Malaysia mendapat manfaat paling besar daripada pengecualian tarif bagi semikonduktor. Mengikut kategori produk, semikonduktor merekodkan kadar pengecualian tertinggi iaitu 99.9%, menunjukkan hampir keseluruhan eksport semikonduktor Malaysia ke AS dikecualikan daripada tarif tersebut.
Bagi produk E&E lain, kadar pengecualian ialah 67.1%, manakala 45.4% daripada eksport bukan E&E turut dikecualikan. Secara keseluruhan, sebanyak 68.0% daripada eksport Malaysia ke AS tidak tertakluk kepada tarif 10% itu.
Di peringkat nasional, jumlah nilai eksport yang tertakluk kepada tarif 10% dianggarkan RM63.3 bilion, bersamaan 4.2% daripada keseluruhan eksport Malaysia, merangkumi:
Semikonduktor: RM0.1 bilion, bersamaan 0.003% daripada jumlah eksport Malaysia.
Produk E&E lain: RM22.0 bilion, bersamaan 1.5% daripada jumlah eksport Malaysia.
Produk bukan E&E: RM41.2 bilion, bersamaan 2.7% daripada jumlah eksport Malaysia.
Hanya 4.2% jumlah eksport terjejas
Daripada anggaran RM63.3 bilion eksport Malaysia yang tertakluk kepada tarif 10% itu, hanya RM100 juta melibatkan produk semikonduktor.
Jumlah tersebut bersamaan kira-kira 0.003% daripada keseluruhan eksport negara.
Eksport produk E&E lain yang terjejas dianggarkan bernilai RM22 bilion atau 1.5% daripada jumlah eksport negara, manakala eksport bukan E&E yang terjejas dianggarkan berjumlah RM41.2 bilion atau 2.7%.
Phillip Capital membuat anggaran itu dengan menukar kod Harmonised Tariff Schedule of the United States (HTSUS) bagi produk yang dikecualikan kepada kod Standard International Trade Classification (SITC) lima digit.
Kod tersebut kemudian dibandingkan dengan data terperinci eksport Malaysia yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi tempoh 2023 hingga 2025.
Kesan neutral kepada pengeluar sarung tangan
Phillip Capital mengekalkan pandangan neutral terhadap sektor sarung tangan getah Malaysia walaupun produk itu tidak termasuk dalam senarai pengecualian tarif terkini.
Firma penyelidikan itu berkata, tarif baharu 10% tersebut secara berkesan menggantikan kadar tarif sedia ada ke atas sarung tangan Malaysia, sekali gus tidak menambah beban tarif kepada pengeluar tempatan.
Pengeluar sarung tangan Malaysia kini menguasai kira-kira 60% bahagian pasaran AS setakat tahun ini.
Pada masa sama, tarif melebihi 100% yang dikenakan ke atas sarung tangan perubatan dari China dijangka terus mengekalkan kelebihan daya saing struktur Malaysia serta berpotensi meningkatkan lagi bahagian pasarannya.
Bagaimanapun, Phillip Capital mengekalkan saranan neutral terhadap sektor itu berikutan kekurangan pemangkin kenaikan harga saham dalam tempoh terdekat selain cabaran operasi yang masih berterusan. - DagangNews.com






