amree27/11/2026 - 12:30 Delegasi Kastam Nanjing bersama wakil Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) selepas kunjungan hormat. Ketua Setiausaha KPK, Datuk Yusran Shah (lima dari kiri) dan Timbalan Ketua Pengarah Kastam Nanjing, Cao Chuanqing (lima dari kanan). Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 27 Nov — Eksport minyak sawit Malaysia ke China berpotensi menikmati proses pelepasan kastam lebih cekap menerusi cadangan projek rintis laluan hijau di Pelabuhan Zhangjiagang, Wilayah Jiangsu, yang masih giat diteroka kedua-dua negara.
Inisiatif tersebut dicadangkan melalui penggunaan platform penyeliaan minyak sayuran secara pintar oleh pihak Kastam Nanjing bagi menyepadukan segala maklumat pensijilan, pemantauan berasaskan risiko dan kebolehkesanan rantaian bekalan.
Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berkata, platform terbaharu berkenaan berpotensi meningkatkan lagi tahap kecekapan penyeliaan import serta memudah cara proses pelepasan kastam bagi eksport minyak sawit Malaysia ke pasaran China.
"Dalam masa sama, penggunaan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) turut diteroka sebagai mekanisme sokongan bagi memperkukuh ketelusan, kebolehkesanan dan keyakinan terhadap produk sawit negara," jelas agensi tersebut menerusi kenyataan pada Jumaat.
Perkara itu dibincangkan dalam pertemuan Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dengan delegasi Kastam Nanjing yang diketuai Timbalan Ketua Pengarahnya, Cao Chuanqing, pada 21 Oktober 2026.
Selain itu, Malaysia dan China turut meneroka kerjasama penyelidikan dan pembangunan (R&D), inovasi serta aplikasi baharu minyak sawit, termasuk formulasi makanan haiwan, sistem penternakan mampan, pemprosesan minyak dan lemak serta penghasilan produk makanan bernilai tambah.

Kerjasama tersebut turut berpotensi menggabungkan kepakaran penyelidikan dan teknologi Malaysia dengan keperluan industri China, sekali gus memperluas penggunaan minyak sawit Malaysia dalam pelbagai sektor serta membuka peluang pasaran baharu.
"Hubungan teknikal kedua-dua negara mempunyai asas sejak pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) pada 2015 antara Malaysia dengan Pentadbiran Am Penyeliaan Kualiti, Pemeriksaan dan Kuarantin China (AQSIQ) berkaitan kualiti dan keselamatan eksport minyak sawit Malaysia," katanya.
Kerjasama itu kemudian diperkukuh menerusi pertukaran kepakaran serta penyelidikan bersama melalui platform Institut Penyelidikan dan Perkhidmatan Teknikal Minyak Sawit MPOB (PORTSIM) di China.
Antara pencapaian penting ialah kejayaan menyokong kemasukan minyak sawit merah Malaysia ke pasaran China pada 2021, hasil penilaian saintifik dan analisis makmal oleh Pusat Pemeriksaan Haiwan, Tumbuhan dan Makanan (APFIC) Kastam Nanjing yang menyediakan bukti teknikal bagi proses pendaftaran produk berkenaan.
KPK dan MPOB komited memperluas kerjasama dengan Pentadbiran Am Kastam Republik Rakyat China (GACC) serta Kastam Nanjing dalam fasilitasi perdagangan, penyelidikan dan pembangunan industri hiliran.
Langkah itu berpotensi meningkatkan nilai ekonomi rantaian industri sawit termasuk kepada pekebun kecil, selaras dengan aspirasi PALMS 2030 untuk memacu produktiviti, automasi, industri rendah karbon, kebolehpasaran dan kemampanan sektor sawit negara. - DagangNews.com






