
KUALA LUMPUR - Malaysia kekal utuh meskipun dunia sedang dirundung pelbagai cabaran.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia muncul sebagai antara negara terawal yang tangkas bertindak untuk melindungi kepentingan industri, perniagaan dan kebajikan rakyat.
Menurut beliau, langkah-langkah strategik telah diambil secara menyeluruh dan terangkum, dengan penglibatan pelbagai pihak demi memastikan kestabilan ekonomi serta daya saing negara terus terpelihara.
“Keutuhan negara tidak hanya terletak pada angka pertumbuhan semata, tetapi juga pada kekuatan daya tahan (resilience) rakyat terbanyak.
“Peningkatan hasil agro-tani, produk tempatan dan ketahanan industri domestik terus menjadi tonggak yang memperkukuh ekonomi,” katanya.
Anwar menyatakan demikian dalam ucapan sembah tahniah pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bagi tahun 2025, sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara, hari ini.
Berangkat pada istiadat itu ialah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
Turut hadir, isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah.
Hadir bersama ialah Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan menteri-menteri Kabinet.
Mengulas lanjut Perdana Menteri berkata, dukungan tidak berbelah bahagi rakyat kepada semua inisiatif tersebut memperlihatkan semangat kebangsaan yang tinggi dan kesedaran terhadap sikap kemandirian dalam cabaran global.
“Kepengerusian Malaysia untuk ASEAN pada tahun ini memperkukuh kedudukan negara sebagai pemangkin dan peneraju diplomasi serantau.
“Pendekatan tuntas dan terangkum diambil membuka ruang kerjasama pelbagai bidang, termasuk perdagangan, teknologi hijau, keterjaminan makanan dan keamanan serantau,” katanya.
Anwar menarik perhatian, Sidang Kemuncak ASEAN pada kali ini adalah yang terbaik dalam sejarah ASEAN.
Kataya, Malaysia buat julung kali sebagai Pengerusi berjaya mempertemukan tiga benua gergasi iaitu Negara-negara Teluk atau Majlis Kerjasama Teluk (GCC), China dan ASEAN dalam usaha menjamin kelangsungan tamadun dan menyemarak ekonomi rakyat serta negara.
“Sidang Kemuncak yang baru selesai tersebut serta penganjuran LIMA di Langkawi membuktikan betapa semangat kerja berpasukan adalah kunci utama dalam usaha kita menterjemahkan hasrat dan cita negara.
“Kecemerlangan Angkatan Tentera Malaysia di Langkawi dan kehebatan PDRM dan seluruh jentera kerajaan serta swasta di Putrajaya dan Kuala Lumpur sungguh mengagumkan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri memberitahu, Tahun Melawat Malaysia 2026 akan menjadi pemangkin baharu kepada pertumbuhan ekonomi dan percambahan peluang pekerjaan.
Katanya, ia bukan sekadar agenda pelancongan, tetapi juga manifestasi kecintaan terhadap tanah air, budaya dan warisan.
“Negara akan bersedia menerima kehadiran dunia dengan senyuman, keramahan, dan semangat kekitaan yang tulus dari setiap rakyat.
“Kerajaan di bawah naungan dan titah pandu Seri Paduka Baginda akan terus komited melaksanakan agenda reformasi menyeluruh berpaksikan prinsip-prinsip yang madani,” katanya. - Getaran, 2 Jun 2025


