
KUALA LUMPUR - Kehadiran barisan pemimpin utama pada mesyuarat strategik Kerajaan Perpaduan semalam membuktikan bahawa kesepakatan yang terjalin sejak 24 November 2022 masih kekal utuh.
Ternyata gabungan semua parti politik itu masih komited untuk menghadapi pelbagai cabaran politik semasa, selaras dengan bahang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang semakin dirasai.
Namun dalam kesepakatan itu, ada satu perkara yang begitu dilihat begitu ketara, hingga menimbulkan pelbagai teori dan spekulasi.
Sekali lagi, kelibat Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli tidak kelihatan pada mesyuarat berkenaan.
Sumber tertinggi parti memberitahu Getaran, desas-desus mengenai hubungan Rafizi bersama segelintir pemimpin dalam PKR yang ‘retak menanti belah’ sememangnya benar.
Ini diperkuat lagi dengan kenyataannya sendiri bahawa beliau bersedia melepaskan jawatan dalam parti dan kedudukan sebagai menteri, bagi membantu membuat persediaan untuk Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16 di peringkat akar umbi.
Di Mana Rafizi?
Sumber memberitahu, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sekali lagi menyatakan persetujuan rasmi untuk bekerjasama bagi menghadapi PRN Sabah.
“Persetujuan ini diumumkan menerusi kenyataan bersama Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

“Persetujuan itu dicapai hasil pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi PH dan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi,” katanya kepada Getaran.
Jelas beliau, komitmen terbabit jelas menggambarkan usaha serius kepimpinan tertinggi Kerajaan Perpaduan untuk memperkukuh kerjasama strategik antara gabungan, sekali gus memastikan kestabilan politik terus terpelihara.
“Namun, dalam gerakan besar ini, di manakah Rafizi Ramli? Ini bukan kali pertama tau, Rafizi ‘hilang dari radar’ untuk mesyuarat yang diklasifikasikan sebagai penting.
“Sebelum ini pun ada beberapa kali beliau tidak hadir mesyuarat Kabinet serta mesyuarat khas di Parlimen, termasuk yang membincangkan isu-isu besar seperti tarif tenaga,” katanya.
Jelas sumber, Ahli Parlimen Pandan itu juga memohon cuti atas kapasiti Menteri Ekonomi tanpa penjelasan yang meyakinkan kepada rakyat.
“Dalam banyak isu penting seperti tarif timbal balas pun beliau senyap tidak bersuara. Rakyat dah mula tertanya, mana Rafizi saat negara berdepan pelbagai isu penting bersangkutan ekonomi.
“Mengapa beliau tiba-tiba menghilangkan diri? Kalau tidak berada-ada, masakan tempua bersarang rendah,” katanya, sinis.
Drama Di Belakang Tabir
Beliau memberi bayangan, ada ‘drama’ sebenarnya yang sedang rancak ‘ditayangkan’ di sebalik tabir.
“Tak perlu pakar yang cerdik pandai, ahli biasa pun tahu something is brewing apabila melihat ketiadaan Rafizi.
“Kita cuma mahu menunggu pengesahan rasmi sahaja (bahawa ada masalah sedang berlaku). Memang sudah terang lagi bersuluh, ada yang tidak beres sebenarnya,” katanya.
Tegas sumber, Rafizi sebagai pemimpin nombor dua parti reformis, sepatutnya menjadi antara perancang utama strategi gabungan dalam menghadapi PRN Sabah.
“Ketidakhadiran beliau secara berterusan dalam momen-momen strategik seperti ini membuka ruang kepada spekulasi liar dan lebih penting, ia mencetuskan persoalan mengenai kepimpinan yang sukar dijelaskan.
“Awak kena cari, apakah sedang berlaku sebenarnya? Adakah Rafizi sedang mengambil sikap menjauhkan diri secara taktikal atau wujud perselisihan serius dalam kepimpinan yang cuba disorokkan di bawah karpet,” katanya.
Beri Penjelasan
Sumber menarik perhatian, Rafizi perlu tampil memberi penjelasan jika benar ingin berundur dan melepaskan semua portfolio yang disandang.
“Setidak-tidaknya penyokong dan rakyat deserve that much. Jika tidak, beliau harus tampil semula untuk menyumbang secara aktif dalam perbincangan, strategi dan hala tuju parti, seperti mana yang diharapkan,” tegasnya.
Kegagalan Rafizi berbuat demikian tambah sumber, hanya akan terus menyemarakkan lagi segala spekulasi dan desas-desus mengenai kedudukan Kerajaan Perpaduan yang didakwa segelintir pihak sudah mulai goyah.
“Dalam barisan kepimpinan Kerajaan Perpaduan, Rafizi ialah antara individu penting.
“Ketiadaan beliau akan menyebabkan persoalan demi persoalan terus bersarang dalam fikiran ramai; apa sudah jadi sebenarnya dan apakah beliau masih lagi relevan,” katanya. - Getaran, 9 Mei 2025
