Malaysia, Thailand kaji semula MoU kerjasama buruh 2003

LocalPolitics
28 Aug 2026 • 4:21 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Malaysia, Thailand kaji semula MoU kerjasama buruh 2003

PETALING JAYA: Malaysia dan Thailand secara prinsip bersetuju mengkaji semula Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Buruh 2003 bagi mewujudkan perjanjian yang lebih moden dan selari dengan tuntutan ekonomi semasa.

Kementerian Sumber Manusia berkata, semakan itu bertujuan mewujudkan perjanjian yang lebih selari dengan tuntutan ekonomi semasa, meningkatkan standard kebajikan pekerja serta memperkemas mekanisme pengambilan pekerja Thailand di Malaysia supaya lebih lancar.

Persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat bilateral peringkat tertinggi di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Buruh ASEAN Ke-29 antara Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan dan Menteri Buruh Thailand, Julapun Amornvivat di Bangkok.

“Malaysia dan Thailand bersetuju untuk memperkukuh hubungan dua hala yang lebih erat bagi menangani cabaran tenaga kerja bersama serta meningkatkan mobiliti tenaga kerja antara kedua-dua negara.

“Kedua-dua menteri bersetuju memberi kuasa kepada pegawai di peringkat kerja daripada Kementerian Sumber Manusia Malaysia dan Kementerian Buruh Thailand untuk mengadakan mesyuarat teknikal bersama bagi merundingkan klausa khusus serta memuktamadkan MoU baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, kedua-dua menteri turut membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan mengiktiraf kepentingannya dalam membangunkan tenaga kerja yang berkemahiran, mudah menyesuaikan diri dan bersedia menghadapi keperluan masa depan di kedua-dua negara.

Beliau berkata, Malaysia dan Thailand turut mengenal pasti beberapa bidang berpotensi untuk memperluas kerjasama TVET termasuk program pertukaran pelajar dan tenaga pengajar, latihan industri serta program peningkatan kemahiran khususnya dalam bidang baharu dan permintaan tinggi seperti TVET digital dan keselamatan siber.

“Kedua-dua pihak menyatakan komitmen untuk meneroka bidang kerjasama berkenaan bagi memperkukuh kemahiran yang relevan dengan keperluan industri, meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja serta menyokong mobiliti kemahiran dan tenaga kerja yang lebih luas antara Malaysia dan Thailand.

“Datuk Seri R. Ramanan menekankan kepentingan menyelaraskan kerangka tenaga kerja dua hala dengan keperluan industri semasa dan piawaian perlindungan antarabangsa bagi memastikan manfaat ekonomi bersama untuk kedua-dua negara.

“Julapun Amornvivat menegaskan semula komitmen Thailand untuk bekerjasama rapat dengan Malaysia bagi memastikan laluan migrasi yang selamat, telus, cekap dan adil,” katanya. –UTUSAN

 

The post Malaysia, Thailand kaji semula MoU kerjasama buruh 2003 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved