
KUALA LUMPUR: Kes buli membabitkan pelajar di institusi pendidikan menunjukkan trend peningkatan yang amat membimbangkan dan memerlukan perhatian serta tindakan bersama daripada semua pihak.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar S Muthuvelu berkata, isu berkenaan bukan hanya menjadi tanggungjawab polis sebaliknya memerlukan kerjasama dan keprihatinan segenap lapisan masyarakat.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat supaya membuang sikap berkecuali dan kembali mengamalkan sikap mengambil tahu mengenai keadaan di sekeliling sebagai usaha membanteras gejala buli daripada terus berlarutan.
“Masyarakat perlu prihatin dan ambil berat. Di sinilah kita kena amalkan ‘jaga tepi kain orang’ dan dalam aspek ini, ia langsung tidak salah.
“Hari ini perkara ini berlaku kepada anak yang kita tidak kenal, esok mungkin anak yang kita kenal dan lusa, mungkin darah daging kita sendiri yang menjadi mangsa.
“Adakah kita mahu tunggu sehingga tahap itu baharu hendak mengambil tindakan?” katanya selepas Majlis Peluncuran Trailer Filem Kesedaran Anti-Buli Is Not A Joke di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), di sini hari ini.
Dalam pada itu, M Kumar turut menyelar sikap sesetengah individu yang lebih ghairah merakam insiden buli untuk ditularkan di media sosial berbanding menyalurkan maklumat segera kepada pihak berkuasa.
Katanya, sikap sedemikian bukan sahaja menjejaskan siasatan polis dan memberi trauma berpanjangan kepada mangsa malah menggagalkan usaha pencegahan awal.
“Pelaku dan mangsa kedua-duanya adalah anak-anak kita. Semua kes buli adalah perkara yang boleh dielakkan sekiranya ibu bapa, masyarakat, sekolah serta agensi seperti PDRM dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memainkan peranan secara bersungguh-sungguh,”jelasnya.
Bagi menyemarakkan kesedaran anti-buli, JSJ melalui Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) dengan kerjasama Dream Film Sdn. Bhd. menyasarkan jelajah tayangan trailer filem ‘Is Not A Joke’ ke sekurang-kurangnya 100 institusi pendidikan di seluruh negara.
Naskhah yang mendapat sentuhan nasihat teknikal dan kepakaran PDRM itu dijangka menemui penonton di pawagam menjelang musim perayaan hujung tahun ini atau Tahun Baharu Cina akan datang.
“Sasaran kita adalah membawa kesedaran terus kepada generasi muda. Jika sekurang-kurangnya 10 peratus audiens mendapat kesedaran daripada tayangan ini, kita sudah menganggap usaha ini berjaya,” katanya.-UTUSAN
The post Kes buli pelajar perlu perhatian semua pihak appeared first on Utusan Malaysia.






