Malaysia, Thailand Perkukuh Kerjasama Strategik Demi Keamanan Dan Kemakmuran Serantau

LocalPolitics
9 Jul 2026 • 4:22 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Malaysia, Thailand Perkukuh Kerjasama Strategik Demi Keamanan Dan Kemakmuran Serantau

Malaysia, Thailand Perkukuh Kerjasama Strategik Demi Keamanan Dan Kemakmuran Serantau

Malaysia dan Thailand komited untuk terus memperkukuh hubungan dua hala menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik yang memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara, termasuk dalam aspek perdagangan, keselamatan, pembangunan sempadan dan keterjaminan makanan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komitmen itu dizahirkan menerusi pertemuan empat mata bersama rakan sejawatnya dari Thailand, Anutin Charnvirakul sebelum kedua-dua pemimpin mempengerusikan mesyuarat dua hala melibatkan delegasi kedua-dua negara.

Katanya dalam satu hantaran di Facebooknya tengah hari tadi, pertemuan itu memperkukuh persahabatan yang telah lama terjalin selain mengukuhkan Perkongsian Strategik Malaysia-Thailand demi keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan bersama.

“Saya dan PM Anutin kemudian mengadakan pertemuan empat mata di Bangunan Perdana Putra sebelum mempengerusikan mesyuarat dua hala bersama delegasi kedua-dua negara.

Baca juga:

“Pertemuan ini memperteguh persahabatan yang sekian lama terjalin serta komitmen Malaysia dan Thailand untuk terus memperkukuh Perkongsian Strategik demi keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan kedua-dua negara,” katanya.

Menurut Anwar, perbincangan turut memberi tumpuan kepada kerjasama dalam pelbagai sektor termasuk perdagangan dan pelaburan, pembangunan kawasan sempadan, keselamatan, pertanian dan keterjaminan makanan, pelancongan, industri halal serta industri semikonduktor.

Beliau berkata, kedua-dua negara turut memberi penekanan terhadap usaha mempercepat pelaksanaan projek kesalinghubungan serantau termasuk ASEAN Power Grid serta memperkukuh hubungan di sempadan Rantau Panjang-Sungai Golok bagi memudah cara pergerakan rakyat dan merancakkan aktiviti ekonomi rentas sempadan.

“Malaysia dan Thailand bersetuju mempercepat pelaksanaan pelbagai inisiatif yang telah dipersetujui melalui mekanisme kerjasama sedia ada agar manfaatnya dapat segera dirasai oleh rakyat kedua-dua negara,” ujarnya.

Dalam pada itu, Anwar berkata Anutin turut merakamkan penghargaan terhadap peranan aktif Malaysia dalam menggalakkan dialog dan usaha damai di rantau ini, termasuk sokongan terhadap proses perdamaian antara Thailand dan Kemboja.

Menurut beliau, kedua-dua pemimpin juga bertukar pandangan mengenai beberapa isu serantau termasuk perkembangan di Myanmar serta usaha mengekalkan keamanan di selatan Thailand berlandaskan semangat ASEAN yang mengutamakan dialog, persefahaman dan penyelesaian secara aman.

Katanya, Malaysia dan Thailand akan terus memperkukuh hubungan yang berasaskan semangat saling menghormati, kepercayaan serta iltizam untuk meneroka lebih banyak peluang kerjasama yang mampu membawa manfaat nyata kepada rakyat kedua-dua negara dan kemakmuran rantau ini.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved