Malaysia Tidak Akan Berdiam Diri Dengan Kezaliman Zionis - PM

LocalPolitics
14 Sep 2025 • 9:39 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Perdana Menteri mengaminkan bacaan doa sebelum berangkat ke Qatar - Gambar PMO

KUALA LUMPUR - Malaysia tidak akan  tunduk dan goyah terhadap tekanan diberikan kuasa besar, selagi penindasan ke atas penduduk Palestin berterusan.

Menegaskan perkara ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Amwar Ibrahim berkata, negara juga tidak akan berdiam diri dan tetap setia berdiri bersama rakyat Palestin yang dizalimi.

Menurut beliau, pendirian tersebut akan disampaikan pada Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam esok.

“Insya Allah, esok saya akan menyampaikan Kenyataan Negara bagi menzahirkan solidariti Malaysia terhadap Qatar yang menjadi mangsa serangan biadab Zionis Israel.

“Serangan terhadap Qatar ini jelas membuktikan bahawa kezaliman Zionis tidak terbatas,” katanya. 

image is not available
Gambar PMO

Tegas Perdana Menteri, Zionis bukan sahaja menindas rakyat Palestin sejak puluhan tahun, malah turut mengancam kedaulatan negara-negara Arab dan Islam seluruhnya. 

“Jika Qatar boleh diserang, maka tiada negara yang benar-benar selamat daripada ancaman mereka.

“Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan zalim ini,” katanya.

Jelas Anwar, negara berdiri teguh bersama Qatar dan Palestin serta seluruh dunia yang cintakan keamanan serta keadilan. 

“Inilah saatnya untuk dunia Arab-Islam, dan masyarakat antarabangsa bangkit bersatu mempertahankan maruah, menghentikan keganasan, dan menjamin keselamatan sejagat,” katanya.

Perdana Menteri berangkat ke Qatar atas jemputan Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani susulan serangan Israel ke atas negara itu 9 September lepas.

Serangan oleh kira-kira 15 jet pejuang Zionis itu dibuat ke atas kawasan dikenali sebagai Leqtaifiya.

Ia mengorbankan enam mangsa, termasuk anak kepada pemimpin kanas Hamas, Khalil al-Hayya, pengarah pejabatnya serta seorang pegawai keselamatan Qatar, sementara pemimpin utama Hamas dilaporkan terselamat.

Terdahulu, pesawat khas yang membawa Perdana Menteri berlepas dari Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pada 7 malam tadi. - Getaran, 14 September 2025