Malaysia Tidak Mahu Jadi Pemerhati Pasif - PM

LocalPolitics
19 Jun 2025 • 12:05 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Sidang Meja Bulat Asia Pasifik Ke-38 anjuran Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) - Gambar PMO

KUALA LUMPUR - Malaysia tidak akan menjadi pemerhati pasif, sebaliknya memilih untuk menjadi agen perubahan demi masa depan yang adil, aman dan lestari.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dunia hari ini berada di ambang perubahan besar dengan ketegangan kuasa besar, krisis kemanusiaan, dan cabaran iklim serta teknologi yang menuntut kepimpinan berani dan berprinsip.

Menurut beliau, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tampil dengan pendekatan progresif yang memperkukuh prinsip ASEAN menerusi integrasi ekonomi digital, tenaga boleh diperbaharui, dan perdagangan terbuka sebagai asas keselamatan serantau.

“Malaysia kekal berpegang kepada prinsip "active non-alignment" sebagai strategi berdaulat yang menjamin maruah dan fleksibiliti. 

“Kita bekerjasama dengan semua termasuk Amerika Syarikat, China, Kesatuan Eropah, India dan negara-negara Selatan Global atas dasar saling hormat dan kepentingan bersama,” katanya Sidang Meja Bulat Asia Pasifik Ke-38 anjuran Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS).

Jelas Perdana Menteri, dunia stabil tidak boleh dibina atas paksaan unilateral.

“Krisis Gaza dan Myanmar menuntut tindakan kolektif. 

“Malaysia komited kepada proses damai milik rakyat Myanmar dan tegas menuntut gencatan senjata serta akses bantuan ke Gaza,” katanya. 

Beliau memberi jaminan, kerajaan Madani akan terus menyuarakan kebenaran dengan prinsip, hikmah dan keberanian.

“Ini semua demi dunia yang lebih adil, bermaruah dan berpaksikan nilai kemanusiaan,” katanya. - Getaran, 19 Jun 2025