Malaysia Tingkat Usaha Diplomatik, Tangani Masalah Jerebu Rentas Sempadan Dengan Indonesia

LocalEnvironment
21 Aug 2026 • 8:36 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Malaysia Tingkat Usaha Diplomatik, Tangani Masalah Jerebu Rentas Sempadan Dengan Indonesia

BANDAR SERI BEGAWAN - Malaysia meningkatkan usaha diplomatik dengan Indonesia susulan masalah jerebu rentas sempadan yang semakin buruk, khususnya di Sarawak, apabila kualiti udara di Serian kini berada pada tahap sangat tidak sihat.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia memandang serius keadaan pencemaran yang semakin meruncing itu dan akan mengemukakan kebimbangan berkenaan secara rasmi kepada Indonesia, selain mengaktifkan mekanisme sedia ada ASEAN bagi menangani kebakaran hutan yang menjadi antara punca utama jerebu.

Menurut beliau, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, akan mengutus surat kepada rakan sejawatnya di Indonesia, manakala Malaysia turut akan membawa isu berkenaan secara terus kepada Sekretariat ASEAN.

Katanya, langkah itu bertujuan memperkukuh penyelarasan serantau antara Malaysia dan Indonesia dalam menangani kebakaran hutan serta pencemaran udara rentas sempadan yang terhasil.

“Pelaksanaan mekanisme ASEAN lebih berkesan bagi memastikan Sekretariat ASEAN dapat menyelaras usaha bersama antara Malaysia dan Indonesia untuk menangani punca kebakaran hutan yang menyumbang kepada pencemaran udara rentas sempadan.

“Surat berkenaan akan diserahkan kepada Setiausaha Agung ASEAN dalam tempoh satu atau dua hari akan datang bagi membolehkan tindakan susulan dan penyelarasan di peringkat serantau dilaksanakan dengan segera,” katanya.

Mohamad menyatakan demikian selepas menghadiri Mesyuarat Ke-27 Pelaksanaan Pertukaran Surat (EOL-27) di sini hari ini.

Usaha diplomatik itu disifatkan amat signifikan, susulan kualiti udara di Serian, yang terletak berhampiran sempadan Malaysia-Indonesia, merosot dengan ketara pagi ini, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kesihatan penduduk.

Data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) menunjukkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Ibu Pejabat Polis Daerah Serian mencecah 242 pada jam 6 pagi, meletakkan kawasan berkenaan dalam kategori sangat tidak sihat.

Keadaan itu meningkatkan kebimbangan terhadap kesihatan awam, khususnya golongan rentan, selain menguatkan keperluan untuk Malaysia dan Indonesia mempergiatkan kerjasama dalam usaha mencegah kebakaran hutan serta membendung pencemaran udara rentas sempadan.

Keputusan Malaysia untuk mengaktifkan mekanisme sedia ada ASEAN turut mencerminkan usaha negara untuk memastikan isu jerebu ditangani menerusi tindakan serantau yang lebih terselaras, dan bukan bergantung kepada pendekatan dua hala semata-mata. - Getaran, 21 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved