amree19/11/2026 - 17:45 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 19 Nov — Orang ramai bakal menerima mesej amaran kecemasan terus pada telefon bimbit menerusi ujian Sistem Amaran Awal Kebangsaan (EWS) yang akan dilaksanakan di sekitar Parlimen pada 23 November 2026, sebelum diperluas ke seluruh negara pada 29 November 2026.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, ujian simulasi itu bertujuan memastikan orang ramai memahami bahawa bunyi dan notifikasi yang diterima merupakan sebahagian daripada ujian sistem, bukannya amaran kecemasan sebenar.
Beliau berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mengeluarkan pengumuman khidmat awam bagi memaklumkan orang ramai mengenai bentuk mesej serta bunyi amaran yang bakal diterima pada telefon masing-masing.
Katanya, hebahan tersebut turut disiarkan menerusi pawagam, televisyen dan radio, selain kerjasama dengan pempengaruh serta platform media sosial seperti TikTok bagi meningkatkan kesedaran mengenai pelaksanaan sistem berkenaan.
"Pengguna tidak perlu memuat turun atau memasang sebarang aplikasi kerana EWS menghantar amaran secara terus kepada telefon bimbit yang serasi dengan sistem itu," jelas Fahmi pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulan kementerian pada Khamis.
Sistem berkenaan melengkapi kaedah penyampaian amaran sedia ada, termasuk khidmat pesanan ringkas (SMS) dan siren yang dipasang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di sepanjang sungai.

Menurutnya, pengguna telefon bimbit model lama akan terus menerima amaran melalui SMS, manakala peranti lebih baharu akan menerima notifikasi EWS dalam bentuk mesej pop-up.
Beliau berkata, sistem itu bukan sahaja digunakan untuk memberi amaran mengenai bencana alam seperti banjir, tanah runtuh dan gempa bumi, malah berpotensi dimanfaatkan bagi menangani isu keselamatan awam.
Antara kegunaan yang sedang dikenal pasti termasuk penyebaran maklumat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung kes kehilangan individu dan kanak-kanak di kawasan tertentu.
Fahmi menjelaskan, EWS menggunakan pendekatan berasaskan lokasi, membolehkan amaran dihantar kepada pengguna telefon bimbit dalam kawasan yang terjejas apabila sesuatu insiden berlaku. Bagaimanapun, pengguna di kawasan berhampiran yang tidak terjejas juga mungkin menerima notifikasi berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menegaskan mesej amaran banjir yang tular menerusi WhatsApp baru-baru ini bukan sebahagian daripada pelaksanaan EWS kerana sistem itu menghantar notifikasi pop-up secara terus ke telefon bimbit, bukannya melalui SMS atau WhatsApp. - DagangNews.com




