Malaysia utamakan diplomasi tangani jerebu rentas sempadan

LocalEnvironment
5 Nov 2026 • 2:09 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Malaysia utamakan diplomasi tangani jerebu rentas sempadan

KUALA LUMPUR: Malaysia memilih pendekatan diplomasi bagi menangani isu jerebu rentas sempadan susulan Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (AATHP) tidak memperuntukkan mekanisme penguatkuasaan terhadap negara yang menjadi punca pencemaran.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, perjanjian yang telah berusia lebih dua dekad itu juga tidak membolehkan tuntutan ganti rugi dikenakan terhadap pihak yang menyebabkan pencemaran berkenaan.

“Bagaimanapun, AATHP masih relevan sebagai kerangka kerjasama serantau yang berteraskan prinsip konsensus, kerjasama serta penghormatan terhadap kedaulatan negara anggota ASEAN.

“Perjanjian ini tidak memperuntukkan mekanisme penguatkuasaan antara negara ataupun tuntutan ganti rugi,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) berhubung keberkesanan AATHP dalam menangani kejadian jerebu berulang, selain sama ada Malaysia bercadang mendesak semakan semula perjanjian itu bagi membolehkan tindakan lebih tegas diambil terhadap negara atau syarikat yang menyebabkan pencemaran.

Syed Ibrahim berkata, tanggungjawab mengambil tindakan terhadap pihak yang menyebabkan kebakaran terletak di bawah bidang kuasa dan undang-undang domestik negara masing-masing.

Katanya, sebarang usaha memperkenalkan mekanisme penguatkuasaan atau tuntutan ganti rugi memerlukan penelitian menyeluruh merangkumi aspek perundangan, bidang kuasa, hubungan diplomatik serta pembuktian saintifik.

Sehubungan itu, beliau berkata, Malaysia berusaha meningkatkan keberkesanan AATHP melalui pelaksanaan Second ASEAN Haze Free Roadmap 2023-2030 dan ASEAN Peatland Management Strategy 2023-2030.

“Malaysia turut mengemukakan dua cadangan melibatkan mekanisme diplomasi sains dan dana jerebu mampan dalam mesyuarat Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) serta Jawatankuasa Pemandu Menteri (MSC) di Bali pada Julai lalu.

“Perkara ini juga akan diteliti oleh Sekretariat ASEAN untuk dibincangkan dalam mesyuarat berkaitan di Vietnam pada Disember ini,” katanya.

Mengulas pendekatan Singapura dalam menangani jerebu rentas sempadan, Syed Ibrahim berkata, Malaysia tetap mengutamakan saluran diplomatik dalam hubungan dengan negara anggota ASEAN bagi mengelakkan sebarang ketegangan.

“Kita masih lagi menekankan diplomasi. Kuasa diplomasi,” katanya.-UTUSAN

The post Malaysia utamakan diplomasi tangani jerebu rentas sempadan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved