liza02/11/2026 - 09:40 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 2 Nov – TSH Resources Berhad membuat tawaran secara sukarela untuk menjalani penilaian oleh panel Kerajaan Singapura susulan notis yang dikeluarkan Agensi Alam Sekitar Kebangsaan Singapura (NEA) kepada dua anak syarikatnya berhubung isu jerebu rentas sempadan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata pihaknya telah menulis kepada NEA bagi mengesahkan kesediaan Kumpulan untuk melantik penilai daripada panel Kerajaan Singapura dengan menanggung sendiri kos penilaian berkenaan.
Penilaian itu akan meliputi operasi, hubungan korporat dan rantaian bekalan Kumpulan berkaitan kebakaran di Indonesia yang menyumbang kepada kejadian jerebu rentas sempadan.
Dua anak syarikat terima notis NEA
Perkembangan itu menyusuli pengumuman TSH pada 26 dan 29 Oktober 2026 berhubung notis yang dikeluarkan NEA kepada dua anak syarikatnya yang diperbadankan di Singapura, iaitu TSH Oversea Pte Ltd dan TSH Global Plantation Pte Ltd.
Notis berkenaan dikeluarkan di bawah Seksyen 10(1) Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan 2014 Singapura.
ARTIKEL BERKAITAN: TSH Resources tegaskan operasi di Indonesia tidak menyumbang kepada jerebu
Susulan itu, TSH menyatakan kesediaannya untuk menjalani penilaian secara sukarela bagi membolehkan operasi dan rangkaian perniagaannya diteliti oleh pihak penilai yang dilantik daripada panel Kerajaan.
Komited beri kerjasama kepada pihak berkuasa
TSH berkata, pihaknya akan memberikan kerjasama kepada penilai sepanjang proses berkenaan, selaras dengan undang-undang dan keperluan kawal selia yang berkuat kuasa serta arahan NEA.
Syarikat itu turut menyatakan sokongan terhadap kebimbangan Kerajaan berhubung kesan kebakaran dan jerebu, selain mengalu-alukan peluang untuk bekerjasama secara konstruktif dengan pihak berkuasa berkaitan serta penilai bebas.
Menurut kenyataan rasmi NEA bertarikh 23 Oktober 2026, agensi itu mengeluarkan notis kepada 10 syarikat berdaftar di Singapura, termasuk dua anak syarikat TSH, bagi mendapatkan maklumat mengenai hubungan korporat dengan syarikat berkaitan di Indonesia dan Singapura, lokasi konsesi tanah serta langkah pencegahan dan pemadaman kebakaran sepanjang musim kering. - DagangNews.com






