Malaysia-WHO Terus Jalin Kerjasama, Pacu Agenda Kesihatan Rakyat - PM

LocalPolitics
7 Apr 2023 • 11:42 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Anwar Ibrahim berkata tema 'Kesihatan untuk Semua' tahun ini adalah selaras dengan nilai dan prinsip Malaysia MADANI - Gambar Fail

KUALA LUMPUR - Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi mempromosi kesihatan, memelihara kesejahteraan serta memberi perkhidmatan kepada golongan rentan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerjasama itu penting bagi memastikan setiap rakyat walau di mana sahaja berada boleh mencapai tahap kesihatan dan kesejahteraan tertinggi. 

Beliau berkata hari ini Malaysia bersama-sama masyarakat antarabangsa meraikan Hari Kesihatan Sedunia dan 7 April  2023 juga merupakan ulang tahun ke-75 Pertubuhan WHO.

“Justeru, sambutan Hari Kesihatan Sedunia ini turut mempamerkan perkongsian serta kerjasama erat antara Kerajaan Malaysia dan WHO yang telah terjalin sejak 65 tahun yang lalu.

"Saya mengulangi komitmen kerajaan untuk memacu pelaksanaan agenda kesihatan bagi semua,” kata Anwar menerusi catatan di laman Facebook beliau. 

Beliau berkata tema 'Kesihatan untuk Semua' tahun ini adalah selaras dengan nilai dan prinsip Malaysia MADANI yang kerajaan mengiktiraf hak untuk kesihatan sebagai hak asasi penting manusia bagi mencapai kehidupan bermaruah. 

"Hak untuk kesihatan ini seharusnya dinikmati oleh setiap orang secara saksama tanpa mengira status atau sebarang perbezaan dan diskriminasi," kata Perdana Menteri. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved