Malaysian Genomics selesai laksana penempatan pensendirian untuk kembangkan perniagaan
diyana
25/07/2023 - 14:55
KUALA LUMPUR 25 Julai - Malaysian Genomics Resource Centre Bhd (MGRC) telah menyelesaikan penempatan persendirian yang dilaksanakan untuk memulakan rancangan mengembangkan perniagaannya.
Dalam satu kenyataan media hari ini, kumpulan itu berkata penempatan persendirian tersebut melibatkan penerbitan tujuh juta saham biasa pada harga 41 sen sesaham penempatan yang telah meningkatkan hasil kasar sehingga lebih kurang RM2.87 juta.
Hasil tersebut akan diperuntukkan untuk modal kerja syarikat dan ditolak dengan anggaran perbelanjaan penempatan persendirian, tambahnya.
“Antara rancangan pengembangan itu termasuk cadangan penukaran nama syarikat kepada ‘Rinani Life Sciences Berhad’, cadangan pengurangan modal saham terbitan, serta penubuhan dan pelaksanaan pelan insentif jangka panjang (LTIP) sehingga 30% daripada jumlah modal saham terbitan syarikat,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Jelasnya, pengembangan tersebut sejajar dengan peningkatan pertumbuhan tonggak perniagaan MGRC, termasuk berkembang dalam peruncitan melalui farmasi dan klinik di bawah inisiatif FMCG (barang pengguna bergerak pantas), di mana ia akan memperkenalkan produk kosmeseutikal di bawah jenama Rejuvium.
Bekas Miss Malaysia World 1993/1994, Datin Sri Jacqueline Hia Kee muncul sebagai pemegang saham besar baharu selepas memperoleh 5.1% kepentingan dalam MGRC melalui tujuh juta saham penempatan.

Mengulas perkata tersebut, Pengarah Eksekutif MGRC, Azri Azerai berbesar hati mengalu-alukan Jacqueline ke MGRC dan Rinani Group Berhad serta berharap dapat menambah lebih ramai individu yang bernilai seperti beliau ke dalam kumpulan.
“Beliau mempunyai semangat mendalam, sejajar dengan dedikasi MGRC dalam penjagaan kesihatan dan sains terhadap peningkatan kualiti hidup, terutamanya dalam sains hayat, kesihatan dan kecantikan.
“Dengan pandangan dan sokongan beliau, kami akan merebut peluang yang akan memanfaatkan pertumbuhan MGRC dalam jangka masa panjang,” ujar beliau.

Dalam perkembangan terkini, MGRC berkata Rinani menjadi pemegang saham besar setelah memperoleh 5.85% kepentingan, meningkatkan pegangannya kepada 10.64% bersamaan 14.60 juta saham dalam MGRC. - DagangNews.com

