Malaysian Pacific Industries perluas kehadiran pembuatan serantau menerusi pengambilalihan Infineon Thailand, kata penganalisis

LocalBusiness & Finance
19 Sep 2025 • 10:39 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Malaysian Pacific Industries perluas kehadiran pembuatan serantau menerusi pengambilalihan Infineon Thailand, kata penganalisis

image is not available

19/09/2025 - 10:39

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Sept - Malaysian Pacific Industries Bhd (MPI) bakal meluaskan kehadiran pembuatan serantaunya menerusi pengambilalihan Infineon Technologies (Thailand) Co Ltd (IFTH) daripada Infineon Technologies AG pada harga AS$77.9 juta (RM327.88 juta).

RHB Research berkata, langkah itu membolehkan MPI mengambil alih kemudahan pembuatan bahagian akhir (back-end) IFTH di Nonthaburi, Thailand, sekali gus mempelbagaikan kemudahan pengeluaran di luar Malaysia dan mengukuhkan kedudukan dalam rantaian bekalan semikonduktor Asia Tenggara.

Katanya, transaksi itu dilihat positif bagi jangka sederhana, dengan kemudahan tersebut meningkatkan keupayaan MPI dalam pemasangan dan ujian semikonduktor, meliputi produk seperti memori, cip komunikasi, peranti isyarat campuran & analog, serta teknologi system-on-chip.

"Pengambilalihan ini juga mengukuhkan hubungan strategik MPI dengan Infineon selain membuka peluang kepada pemindahan teknologi, kecekapan dan meningkatkan kesetiaan pelanggan jangka panjang.

"Pembelian berjumlah RM327.88 juta ini akan dibiayai sepenuhnya secara tunai tanpa sebarang pencairan pegangan pemegang saham dan dijangka selesai menjelang 4QFY26.

"Walaupun kesannya neutral dalam jangka pendek, pengambilalihan ini dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan selepas integrasi," katanya dalam satu nota kajian.

RHB Research mengekalkan unjuran sedia ada sementara menunggu urus niaga itu disempurnakan, namun pengambilalihan itu dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan dalam jangka sederhana selepas proses integrasi.

"Kami mengekalkan penarafan "beli" dengan harga sasaran (TP) baharu RM35 berbanding RM30.50 sesaham sebelum ini," katanya.

Sementara itu, TA Securities berkata, pengambilalihan itu dijangka mengukuhkan hubungan antara kedua-dua syarikat dan berpotensi membawa kepada peningkatan aktiviti penyumberan luar atau peluang kerjasama untuk mengenal pasti sinergi serta membangunkan rumusan pembungkusan yang lebih inovatif.


Katanya, harga pembelian sebanyak RM327.88 juta menunjukkan nisbah sekitar 0.7x, yang dilihat munasabah memandangkan rekod keuntungan IFTH yang tidak menentu.

Bagi tahun kewangan 2024 (FY24), IFTH mencatatkan kerugian bersih RM7.6 juta, kebanyakannya akibat turun naik kadar pertukaran asing, berbanding keuntungan bersih RM7.7 juta pada FY23.

"Urus niaga ini membolehkan MPI mempelbagaikan jejak operasinya di luar Malaysia dengan memasuki Thailand, sekali gus mengurangkan risiko geografi dan operasi," katanya.

Firma penyelidikan itu bagaimanapun mengekalkan saranan "jual" dengan TP RM27.20 sesaham.- DagangNews.com

standard