“Mama Kalah Dengan Rindu…” – Anak Sempat 9 Hari Jalani Latihan Industri, Pergi Selamanya Akibat AVM

LocalFamily & Parenting
21 Feb 2026 • 2:44 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

KUALA LUMPUR – Satu perkongsian menyentuh hati di TikTok baru-baru ini mengundang sebak apabila seorang ibu meluahkan kerinduan terhadap anak lelakinya yang telah meninggal dunia.

Menerusi hantaran tular oleh pengguna akaun TikTok @pelangi2ungu, wanita berkenaan memaklumkan bahawa dia pulang ke rumah di Pulau Pinang untuk mengambil pakaian milik arwah anaknya, Adam.

“Mama pergi rumah di Penang ambil baju-baju Adam. Adam sempat sembilan hari sahaja menjalani latihan industri di Sarinani Perodua Bukit Mertajam. Mama reda, cuma mama kalah dengan rindu. Sakit rindu ini. Sudah 13 hari tanpa anak syurga mama. Al-Fatihah Adam.”

Difahamkan, Allahyarham sempat menjalani latihan industri selama sembilan hari di sebuah premis berkaitan Perodua di Bukit Mertajam sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Adam Pergi Akibat Penyakit AVM Sejak Lahir

Dalam ruangan komen, seorang pengguna dipercayai ibu kepada arwah menjelaskan bahawa Adam menghidap penyakit AVM (Arteriovenous Malformation), iaitu keadaan salur darah tidak normal yang boleh berlaku sejak kelahiran dan adakalanya tidak disedari sehingga ia menyerang secara tiba-tiba.

Perkongsian itu nyata meruntun hati ramai. Antara komen yang mencuri perhatian berbunyi, “Allahuakbar… rindu yang tiada penghujungnya.”

Malah si ibu turut membalas dengan luahan lebih menyayat hati, menyatakan hasratnya untuk bersama kembali dengan anak tersayang.

Luahan Menjelang Ramadan Undang Sebak

Dalam satu lagi hantaran berasingan, ibu berkenaan sekali lagi meluahkan perasaan menjelang Ramadan, ketika umat Islam membuat persiapan menyambut bulan mulia itu tanpa kehadiran insan tersayang.

“Esok sudah masuk bulan puasa. Mama tidak tahu bagaimana hendak bangun sahur pagi esok. Tunggu mama, ayah dan adik-adik ya. Tarik kami ke syurga. Al-Fatihah anak syurga mama Adam.”

Perkongsian tersebut mengundang simpati warganet yang turut menitipkan doa buat arwah serta mendoakan agar keluarga berkenaan diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian berat ini. Al-Fatihah. – The Malaysian Update

The post “Mama Kalah Dengan Rindu…” – Anak Sempat 9 Hari Jalani Latihan Industri, Pergi Selamanya Akibat AVM appeared first on The Malaysian Update.