“Mama Ulang Tengok Video Abang…” – Ibu Kongsi Kenangan Arwah Syahir Daniel, Ramai Sebak Dengar Kisah Hidupnya

Family & Parenting
24 Jul 2026 • 1:44 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

Image from: “Mama Ulang Tengok Video Abang…” – Ibu Kongsi Kenangan Arwah Syahir Daniel, Ramai Sebak Dengar Kisah Hidupnya

KUALA LUMPUR – Pemergian insan tersayang sememangnya meninggalkan kesan yang sukar digambarkan, lebih-lebih lagi apabila kehilangan itu melibatkan seorang anak yang masih muda dan mempunyai masa depan cerah.

Itulah yang dikongsikan seorang ibu menerusi akaun TikTok @SiPari-Pari, apabila memuat naik kompilasi video kenangan arwah anaknya, Syahir Daniel, yang dirakam bersama rakan-rakan sepanjang hayatnya.

Menerusi kapsyen yang dimuat naik, si ibu mengakui dia sering mengulang tayang video tersebut sebagai cara melepaskan rindu terhadap anak kesayangannya.

“Ulang² mama tengok video abang dengan kawan².. terima kasih pada yang mengirim video ni… #alfatihah anakku sayang.”

Meninggal dunia akibat kemalangan ketika pulang ke universiti

Menjawab pertanyaan netizen di ruangan komen, pemilik akaun memaklumkan arwah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan pulang ke universiti.

Menurutnya, sebelum kejadian, arwah baru selesai membantu menjaga neneknya yang dirawat di hospital.

“Kemalangan semasa perjalanan pulang ke U selepas bantu jaga nenek di hospital.”

Perkongsian itu membuatkan ramai meluahkan rasa simpati dan menitipkan doa agar roh arwah dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Pensyarah kenang Syahir sebagai pelajar yang baik

Video berkenaan turut mendapat perhatian individu yang pernah mengenali arwah, termasuk seorang yang mendakwa merupakan pensyarahnya di UniKL MSI.

Menurut individu itu, Syahir merupakan seorang pelajar yang sangat baik dan kenangan perbualan terakhir mereka masih segar dalam ingatan.

“Arwah Syahir Daniel student saya di UniKL MSI yang sangat baik. Terngiang-ngiang saya ingat last conversation dia nak ajak ngopi.”

Si ibu kemudian membalas komen tersebut dengan mengucapkan terima kasih atas segala ilmu yang telah dicurahkan kepada anaknya sepanjang berada di universiti.

“Terima kasih mengajar anak saya sepanjang dia di UniKL MSI. Mohon halalkan ilmu yang dicurahkan, maafkan anak saya andai ada salah silap.”

Pernah bekerja sambilan di ZUS Coffee

Dalam pada itu, seorang lagi pengguna TikTok berkongsi pengalaman berurusan dengan arwah ketika bekerja sambilan di sebuah cawangan ZUS Coffee.

Menurutnya, arwah seorang yang sangat baik hati apabila sanggup membuat semula minuman selepas minuman pelanggan tertumpah, malah memberikan minuman tersebut tanpa mengenakan sebarang bayaran.

Si ibu mengesahkan perkara itu dan memaklumkan arwah memang bekerja sambilan di ZUS Coffee pada hujung minggu.

“Ya, dia part time hujung minggu di Zus Coffee… kemalangan semasa perjalanan pulang ke U selepas bantu jaga nenek di hospital.”

“Kita bukan kehilangan, tetapi memulangkan”

Selain mendoakan arwah, ramai juga meninggalkan kata-kata yang menyentuh hati buat si ibu agar terus tabah menghadapi ujian tersebut.

Seorang pengguna menulis bahawa manusia sebenarnya bukan kehilangan insan tersayang, sebaliknya sedang memulangkan kembali apa yang dipinjamkan Allah SWT.

Si ibu membalas ringkas namun penuh makna.

“Benar, kita memulangkan apa yang Allah pinjamkan.”

Ruangan komen turut dipenuhi ucapan takziah serta doa daripada orang ramai yang tersentuh melihat kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya, selain perkongsian mereka yang pernah mengenali arwah sebagai seorang insan yang baik, ringan tulang dan disenangi ramai. – The Malaysian Update

The post “Mama Ulang Tengok Video Abang…” – Ibu Kongsi Kenangan Arwah Syahir Daniel, Ramai Sebak Dengar Kisah Hidupnya appeared first on The Malaysian Update.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved