Mampukah Khairy “Mata Arjuna” Jamaluddin menang?

Opinion
24 Apr 2026 • 2:00 PM MYT
TheRealNehruism
TheRealNehruism

An award-winning Newswav creator, Bebas News columnist & ex-FMT columnist.

Image from: Mampukah Khairy “Mata Arjuna” Jamaluddin menang?
Image credit: Malay Mail

Bagi saya, Khairy adalah semua yang Nurul Izzah bukan.

Dalam artikel yang saya tulis tentang Nurul Izzah sebelum ini, rungutan utama saya ialah Nurul Izzah seolah-olah tidak benar-benar mahu menang.

Sepanjang setahun ini, Nurul Izzah tidak kelihatan langsung seperti seseorang yang benar-benar “bermain” dalam gelanggang politik.

Walaupun beliau sudah berada di dalam padang, beliau tidak nampak seperti mahu berada di situ.

Dia tidak mengejar bola.

Dia tidak memerhati pergerakan pemain lain di atas padang.

Dia tidak mengkaji permainan untuk mencari peluang.

Dia tidak kelihatan langsung seperti seorang yang mempunyai keinginan untuk menjaringkan gol dan meraih kemenangan.

Sebaliknya, dia seolah-olah hanya menunggu bola datang kepadanya — untuk ditendang secara sambil lewa kepada orang lain.

Dia bermain bukan seperti dia mahu menang, tetapi sekadar untuk mencari alasan untuk tidak dipersalahkan jika pasukannya kalah.

Khairy pula adalah bertentangan sepenuhnya dengan Nurul Izzah.

Walaupun “disingkirkan dari permainan” selama empat tahun, dia tidak pernah mengalihkan pandangan daripada bola. Dia bukan sekadar mengkaji permainan — dia membentuk dirinya mengikut kehendak permainan. Dia menjadi apa sahaja yang diperlukan untuk menang.

Dalam bahasa Melayu, sifat Khairy ini dipanggil wibawa. Orang yang berwibawa adalah seorang yang mampu mengubah dirinya untuk mecari kejayaan. Orang yang tidak berwibawa pula adalah seorang yang terperangkap menjadi dirinya sendiri — walaupun menjadi dirinya sendiri hanya mampu membawa kekalahan kepadanya.

Selain berwibawa, Khairy juga fokus memerhati apa yang dilakukan oleh semua orang dalam gelanggang, sambil mengira peluang masing-masing untuk mendapatkan apa yang mereka mahukan. Sebab itulah dia antara ahli politik yang terawal di negara kita yang menyedari bahawa Zahid mungkin bakal menjadi Perdana Menteri Malaysia seterusnya — dan sebaik sahaja dia menyedarinya, dia kembali ke UMNO tanpa syarat.

Walaupun sudah berdekad dalam arena politik, Khairy juga tidak leka untuk menjaringkan gol dan mencari kemenangan.

Dia mungkin hanya mengahwini anak Pak Lah sebagai langkah untuk mencapai matlamat politiknya. Apabila itu tidak berhasil, dia bersabar di bawah Najib untuk mencari peluang untuk meraih kejayaan. Apabila itu juga tidak berhasil, dia mencabar Zahid untuk memimpin UMNO.

Apabila tindakan itu menimbulkan kemarahan Zahid hingga menyebabkan dia “dihantar mati politik” di Sungai Buloh dalam PRU 2022, dia tetap melawan habis-habisan dan hampir mencuri kemenangan dari cengkaman kekalahan.

Walaupun tewas di Sungai Buloh, dia masih cuba menyingkirkan Zahid selepas pilihan raya — yang akhirnya menyebabkan dia dipecat dari UMNO.

Walaupun dipecat dan terpaksa hidup terumbang ambing dalam arena politik selama 4 tahun tanpa parti, dia tetap menunggu saat yang tepat untuk kembali.

Kini, apabila dia melihat yang Zahid Hamidi berpotensi menjadi Perdana Menteri ke-11, Khairy menelan egonya dan kembali ke UMNO.

Berbeza dengan Nurul Izzah yang kelihatan hanya berminat mencari alasan untuk mengelakkan dirinya daripada dipersalahkan jika kalah, Khairy sanggup menerima apa jua kecaman — asalkan dia menang.

Dia tidak peduli apa tentang apa yang orang kata tentang keputusannya untuk berkahwin hanya untuk mencipta laluan ke jawatan Perdana Menteri. Dia juga tidak peduli apa orang kata tentang tindakannya mencium tangan Zahid untuk kembali semula kepada Umno, hanya untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang.

Seperti yang pernah disebut Rafizi — tidak penting bagi Khairy sama ada dia berada dalam PH, PN atau BN — asalkan dia menang.

Itulah juga pandangan saya. Bagi saya, Khairy ini memang seorang pemenang.

Jika saya perlu menggambarkan Khairy dengan dua perkataan, ia adalah: dia mempunyai “mata Arjuna.”

Dalam epik Mahabharata, Arjuna ialah pahlawan terhebat. Sebab dia menjadi yang terhebat dapat dilihat dalam satu kisah zaman mudanya.

Ketika dilatih oleh Drona bersama putera-putera lain, mereka diuji untuk memanah patung seekor burung yang diperbuat daripada kayu yang diletakkan di dahan sebuah pokok yang jauh. Sebelum putera -putera raja ini melepaskan anak panah, Drona akan memberhentikan mereka dan bertanya kepada setiap pelajarnya apa yang mereka lihat.

Ada yang kata mereka melihat halangan dahan, ada yang kata mereka sedang memerhati arah angin bertiup ada yang berkata yang mereka melihat reaksi orang lain dan ada juga yang kata yang mereka kata mereka risau melihat tangan mereka menggeletar kerana letih menarik tali busur dengan lama.

Tetapi apabila tiba giliran Arjuna, dia menjawab tanpa ragu:

“Saya hanya nampak mata burung sahaja, Cikgu.”

Tiada gangguan. Tiada keraguan. Hanya sasaran.

Kerana itu, hanya Arjuna dibenarkan Drona melepaskan panahnya — dan Arjuna berjaya pada cubaan pertama.

Jika ahli politik itu satu spesies, Khairy tergolong dalam genus “pemenang”. Dalam kalangan pemenang, dia setaraf dengan Mahathir dan Anwar.

Seperti Anwar ibarat “anak” yang tidak pernah dimiliki Mahathir, Khairy pula ibarat “anak” yang tidak pernah dimiliki Anwar.

Namun ini bukan pujian.

Seperti Mahathir dan Anwar, saya melihat golongan “pemenang” ini sebagai gologan yang mampu membawa lebih banyak mudarat daripada manfaat — kerana golongan pemenang ini memang longgar berpegang kepada prinsip, kerana keinginan mereka untuk menang sering mengatasi komitmen mereka kepada prinsip.

Namun begitu, antara seorang baik tapi lemah dan seorang pemenang yang tidak terlalu banyak keburukannya, saya cenderung memilih pemenang sebagai pilihan yang lebih baik untuk negara.

Pemenang, selagi keburukannya terkawal, sekurang-kurangnya mampu membawa kejayaan kepada negara — walaupun tidak semestinya kebahagiaan dan kesejahteraaan.

Orang baik yang lemah pula bukan sahaja akan gagal membawa kejayaan, malah mereka turut akan menghumban negara ke kancah kekecewaan dan kekalahan.

Namun sebelum saya akhiri, perlu diingat — walaupun Arjuna pahlawan terhebat, dia bukan ketua pasukannya.

Ketua mereka ialah Yudhisthira — seorang yang jauh kurang hebat sebagai pahlawan dari Arjuna, tetapi dianggap sebagai sebagai pemimpin yang lebih baik dari Arjuna kerana perwatakkannya yang baik dan berprinsip.

Ini penting: kerana mesej yang ingin disampaikan oleh Mahabharata di sini ialah jika di beri pilihan antara seorang yang baik tetapi tidak begitu hebat, dengan seorang yang sangat hebat, adalah lebih baik kita meletakkan kepercayaan kita terhadap dia yang baik — selagi dia tidak terlalu lemah.

Tambahan pula, Arjuna sendiri pada masa muda bersifat ego dan mementingkan diri — dan sifat itulah yang membawa kepada kejatuhan dirinya dan saudara-saudaranya sehingga terpaksa hidup dalam buangan selama 13 tahun.

Hanya selepas di insafkan oleh penderitaan ini, Arjuna dapat memperbaiki dirinya, dan kembali sebagai wira yang lebih matang dan rendah hati.

Khairy baru sahaja kembali ke UMNO selepas empat tahun dalam “buangan politik”. Saya harapkan yang terbaik untuknya.

Ketika dunia lama sedang berakhir dan dunia baharu sedang terbentuk, sudah tiba masanya generasi pemimpin baharu muncul untuk memimpin kita dalam zaman dimana kita akan meredah perubahan yang drastik.

Pemimpin lama seperti Anwar, Zahid atau Hamzah mungkin sesuai untuk dunia yang sudah berlalu — tetapi mereka memang tidak sesuai untuk memimpin kita untuk menghadapi cabaran yang mendatang.

Mereka mesti berundur dan desakan masa pasti akan memaksa mereka berundur.

Dalam kalangan mereka yang sedang diperhatikan oleh negara di saat genting ini untuk menggantikkan mereka, Khairy adalah salah seorang daripadanya.

Jika benar takdir telah memilihnya untuk memimpin kita dalam zaman yang penuh ketidaktentuan ini, semoga dia tidak mengecewakan kita.


TheRealNehruism (nehru.sathiamoorthy@gmail.com) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.