Mana Sikana Dinobat Sebagai Sasterawan Negara Ke-16

LocalPolitics
28 Apr 2026 • 5:05 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

image is not available

Abdul Rahman Napiah atau lebih dikenali sebagai Mana Sikana, seorang sarjana dan pemikir sastera negara, telah dinobatkan sebagai Sasterawan Negara ke-16.

Pemilihan itu dibuat berdasarkan ketokohan beliau sebagai sasterawan yang prolifik dan konsisten menghasilkan karya kreatif yang bermutu tinggi sepanjang kerjayanya, menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

image is not available

Katanya lagi, sumbangan Allahyarham yang meninggal dunia pada 26 Mei 2025 merangkumi pelbagai genre seperti cerpen, novel dan drama yang sarat dengan pemikiran kritis, nilai kemanusiaan dan kepekaan terhadap realiti sosial.

Karya beliau sering menampilkan pendekatan yang berani dan inovatif, sekali gus memperkayakan bentuk serta estetika penceritaan dalam kesusasteraan Melayu moden.

“Kesinambungan penulisan beliau dalam bidang cerpen menghasilkan ratusan karya yang memperlihatkan eksperimen naratif serta kekuatan pemikiran falsafah, antaranya dihimpunkan dalam kumpulan cerpen seperti Cinta Junjungan.

image is not available

“Dalam genre novel pula, karya seperti Ronjang, Klimaks, Kesesatan dan Syajar semuanya yang dihasilkan secara intertekstual, metafiksyen dan metasejarah.

“Novel Mana Sikana ini membawa pembaharuan daripada segi struktur dan teknik penulisan genre novel di Malaysia. Dalam bidang drama, beliau banyak menulis skrip drama pentas, skrip drama radio dan televisyen,” katanya dalam sidang media di kementerian hari ini.

Individu yang menerima anugerah ini akan menerima warkah penghormatan negara, wang tunai RM60,000, penerbitan karya sehingga RM50,000 naskhah atau nilai maksimum RM500,000.00 untuk diedarkan kepada sekolah, perpustakaan serta jabatan dan agensi kerajaan.

Majlis Pengurniaan Anugerah Sastera Negara Ke-16 akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada suatu tarikh yang akan dimaklumkan oleh Istana Negara.

Artikel berkaitan: KPM Laksana Pelan 11 Langkah Keselamatan Sekolah, Kuasa Rotan Disemak Semula

Artikel berkaitan: Bukan Biasa-biasa, Ini 6 Wanita Pertama Malaysia Cipta Sejarah Dalam Pelbagai Bidang

Latar belakang Mana Sikana 

Abdul Rahman Napiah merupakan pengarang yang dilahirkan pada 9 Oktober 1945 di Perak. Beliau berasal dari Bagan Serai dan berketurunan Banjar, serta telah melanjutkan pelajarannya di Universiti Kebangsaan Malaysia sekitar 1974-1978 atas pembiayaan biasiswa UKM.

Beliau kemudian berjaya meraih Sarjana Muda Persuratan Kelas Pertama dan meneruskan pendidikan sarjana pada 1980 hingga 1981 dan kemudian menerima ijazah doktor falsafah (PhD) pada 1991.

image is not available

Antara karya-karya beliau yang menarik perhatian seperti empat kumpulan cerpan berjudul:

  • Santau (1982)
  • Jejak Yang Hilang (1984)
  • Abzyx (1986)
  • Nusia (2002)

Karya kumpulan drama:

  • Apa-Apa (1982)
  • Tok Awang (1984)
  • Hikmah (1998)

Karya novel yang dihasilkan:

  • Ronjang (1984)
  • Kesesatan (1987) 
  • Klimak (1989)
  • Syajar (1996)

Buku kajian sastera:

  • Teras Sastera Melayu Moden (1982)
  • Esei-esei Kesusasteraan (1983)
  • Kritikan Sastera: Kaedah dan Aplikasi (1986)
  • Di Sekitar Pemikiran Drama Moden (1989)
  • Teori Sastera Moden (1990)
  • Drama Melayu Moden (1996)
  • Teori dan Kritikan Sastera Pascamodenisme (1998)
  • Sastera Pascamodenisme Melayu (2002)
  • Teori dan Kritikan Sastera (2002)

Mana Sikana telah menghasilkan lebih 100 buah buku dan pengarang hebat ini telah menghembuskan nafas terakhir pada 26 Mei tahun lalu di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM pada usia 80 tahun.

Sumber: Berita Harian, Kawah Buku

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved