Mandat rakyat sangat dinamik, BN diingatkan tidak alpa kejayaan PRN Johor

LocalPolitics
13 Jul 2026 • 3:37 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Mandat rakyat sangat dinamik, BN diingatkan tidak alpa kejayaan PRN Johor
Laporan Sinar Harian mengenai BN menang besar 48 kerusi DUN Johor. Gambar kecil: Azrie

​KUALA TERENGGANU – Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu lalu yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) menyapu bersih 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak seharusnya ditafsir sebagai jaminan mutlak gabungan itu pada masa hadapan.

​Sebaliknya, keputusan luar biasa yang mengecilkan penguasaan Pakatan Harapan (PH) kepada lapan kerusi dan menyaksikan kegagalan total Perikatan Nasional (PN) itu membawa isyarat jelas mengenai dinamika tingkah laku pengundi moden menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

​Penganalisis politik, Dr Azrie Azeh berkata, kebanjiran sokongan terbaharu diterima oleh BN kali ini bukan sekadar datang daripada kubu tradisi mereka di kawasan luar bandar, malah melibatkan anjakan mengejutkan di zon bandar serta separa bandar yang selama ini dianggap kawasan kompetitif dan milik parti lawan.

​Menurut beliau, peralihan pengundi bandar yang terkenal dengan sikap kritikal ini membuktikan bahawa landskap politik negara sudah mula beralih daripada politik identiti dan sentimen kaum kepada politik berasaskan prestasi pembangunan (performance legitimacy) serta pengurusan ekonomi yang berkesan.

"Kejayaan BN menguasai naratif pembangunan setempat terutamanya membabitkan projek berimpak tinggi seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) telah meletakkan gabungan tersebut dalam kedudukan yang sangat dominan di mata rakyat.

"​Berdasarkan perspektif sains politik menerusi teori Retrospective Voting oleh Morris Fiorina dan Valence Politics oleh Donald Stokes, pengundi masa kini bertindak secara rasional dengan membuat penilaian terus terhadap keupayaan sebenar sesebuah kerajaan negeri mengurus kebajikan awam berbanding retorik atau janji-janji kempen.

"​Keadaan ini sekali gus meletakkan rakan sekutu mereka di peringkat Persekutuan, iaitu PH, dalam posisi yang sukar dan mengelirukan selepas pembentukan Kerajaan Madani," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian pada Isnin.

Pada masa sama, beliau berkata, PH kini berdepan dengan krisis identiti politik di peringkat akar umbi negeri berikutan ruang untuk menawarkan naratif perubahan yang menjadi tunjang kekuatan tradisi mereka sebelum ini semakin terhad.

​Sementara itu, katanya, Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai Bersatu dan Pas pula didapati gagal mengembangkan pengaruh secara signifikan akibat strategi kempen yang terlalu berpaksikan polemik politik persekutuan dan isu Nasional yang akhirnya gagal menandingi pertimbangan pragmatik serta utiliti ekonomi dimahukan oleh masyarakat Johor.

​Bagaimanapun, beliau berkata, pimpinan tertinggi BN diingatkan agar tidak sesekali terbuai dengan kemenangan besar ini atau menganggap angka 48 kerusi yang diperoleh sebagai sebuah 'cek kosong' yang memberikan keselesaan berpanjangan.

​"Sejarah politik tanah air telah berkali-kali membuktikan bahawa mandat yang diberikan oleh rakyat dalam sistem demokrasi moden hari ini sifatnya sangat dinamik.

"Sokongan padu boleh beralih arah dalam sekelip mata ke peti undi pihak lain sekiranya barisan kepimpinan mula alpa, culas, atau gagal mengotakan janji yang diketengahkan," ujarnya.

PRN Johor: Kekalahan PN sudah dijangka, pengerusi perlu bertanggungjawab letak jawatan

​Tambah beliau, dalam era kematangan ekosistem politik kini, cabaran sebenar bagi BN pasca-PRN Johor bukan lagi sekadar mendabik dada meraikan kemenangan besar, melainkan memikul akauntabiliti yang jauh lebih berat bagi menterjemahkan kepercayaan majoriti itu kepada sistem tadbir urus yang telus, berintegriti, inklusif dan responsif.

​Sambil memetik prinsip Issue Ownership, beliau mengingatkan bahawa sokongan yang dipinjamkan oleh pengundi bandar dan generasi muda boleh ditarik balik pada bila-bila masa sekiranya isu-isu mendesak melibatkan kos sara hidup, peluang pekerjaan berkualiti serta kesejahteraan sosial gagal diselesaikan secara tuntas.

​"Dalam sebuah acuan demokrasi moden, kemenangan pilihan raya bukan lagi sebuah destinasi penamat untuk parti politik berpesta keraian.

"Sebaliknya, ia merupakan garis permulaan rasmi kepada satu amanah sangat berat dan penuh risiko sekiranya gagal diuruskan dengan penuh tawaduk untuk kepentingan rakyat," katanya lagi.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved