Mandat UNIFIL tamat: Anggota MALBATT mula pulang dari Lubnan Januari 2027

LocalPolitics
3 Oct 2026 • 1:54 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: Mandat UNIFIL tamat: Anggota MALBATT mula pulang dari Lubnan Januari 2027

KUALA LUMPUR - Kesemua anggota Batalion Malaysia (MALBATT) yang berkhidmat di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) bakal diundurkan secara berperingkat ke tanah air bermula Januari 2027.

Langkah ini menyusul penamatan mandat misi pengaman PBB berkenaan yang dijadualkan berakhir pada penghujung tahun ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan bahawa proses kepulangan anggota akan menggunakan beberapa penerbangan khas, manakala pemindahan aset ketenteraan berat pula membabitkan laluan laut bermula 17 Jan.

Menurutnya, pengunduran ini mengikut garis masa penugasan yang selesai sepenuhnya menjelang akhir Disember nanti.

“Anggota kita dijangka mula pulang pada Januari tahun depan melalui beberapa penerbangan, manakala aset ketenteraan Malaysia pula akan dibawa pulang menggunakan kapal bermula pada 17 Jan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Asrama Anak-Anak Yatim Islam Kota Tinggi di sini, hari ini.

Terbuka sertai misi baharu PBB

Dalam pada itu, Mohamed Khaled menegaskan bahawa Malaysia kekal bersedia untuk menghantar semula pasukan pengaman ke Lubnan sekiranya PBB memutuskan untuk mewujudkan misi baharu.

Namun, beliau memberi penekanan bahawa sebarang penglibatan tentera negara wajib berlandaskan mandat rasmi badan dunia tersebut.

“Sekiranya pihak PBB memutuskan untuk menubuhkan pasukan baharu atas apa jua nama sekalipun dan memerlukan penglibatan kita, Malaysia bersedia untuk menyertainya.

“Namun, hal ini tertakluk pada keputusan PBB. Kita tidak akan terlibat dalam sebarang operasi yang tidak berada di bawah mandat badan dunia berkenaan,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa isu keselamatan di kawasan pergolakan tersebut menjadi topik utama perbincangan sewaktu lawatan kerjanya ke Lubnan baru-baru ini. Rakan sejawatnya di sana mengesahkan situasi persekitaran masih berdepan ancaman berterusan.

Ketika ini, persidangan PBB sedang berlangsung di mana sebahagian besar negara peserta menyuarakan cadangan agar keputusan menamatkan misi pengaman tersebut dikaji semula.

Sejarah penglibatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Lubnan bermula secara kecil-kecilan pada tahun 2007 sebelum PBB meluluskan penempatan penuh bertaraf satu batalion pada 2013. - 3 Oktober, 2026

The post Mandat UNIFIL tamat: Anggota MALBATT mula pulang dari Lubnan Januari 2027 appeared first on Scoop.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved