
KOTA TINGGI – Semua aset ketenteraan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang kini berada di Lubnan akan dibawa pulang menerusi jalan laut bermula 17 Januari tahun depan, susulan penamatan penugasan Batalion Malaysia (Malbatt) di bawah misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, proses membawa pulang anggota Malbatt pula akan dilakukan secara berperingkat menerusi beberapa penerbangan bermula Januari depan.
“Semua aset-aset kita akan mula dihantar melalui kapal bermula 17 Januari tahun depan, manakala tentera kita akan mula balik dalam bulan Januari mengikut beberapa penerbangan.
“Langkah ini selaras dengan keputusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menamatkan mandat semua batalion di bawah misi UNIFIL menjelang akhir Disember ini,”katanya selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Asrama Anak-Anak Yatim Islam Kota Tinggi di Asrama Anak-Anak Yatim Islam, di sini, hari ini.
Mohamed Khaled berkata, Malaysia turut berbangga dengan pencapaian serta peranan anggota Malbatt yang telah melaksanakan tugas menjaga keamanan di Lubnan sejak 2007.
“Sepanjang tempoh berkenaan, tentera kita bukan sahaja berjaya menjalankan tugas mengawas keamanan, malah amat disenangi dan menyantuni masyarakat tempatan di kawasan pengawasan kita.
“Rakyat di sana turut menyatakan rasa terharu dan bakal merasai kehilangan apabila pasukan pengaman negara tidak lagi beroperasi di sana kelak,”katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Aset Malbatt di Lubnan dibawa pulang Januari depan appeared first on Kosmo Online.





