Tahun 2025 membuka tirai dengan pelbagai perkembangan teknologi yang semakin pesat. Dari pengintergrasian AI hingga Kenderaan Elektrik, serta inovasi dalam bidang mobiliti, semua ini dijangka akan membentuk landskap masa depan kita. Begitu juga dengan cara kita menjalankan transaksi wang, di mana pembayaran nirtunai kini semakin popular dan digunakan hampir di setiap tempat, menjadikannya lebih mudah dan juga efisien.
Kalau dilihat sekarang, kemajuan pembayaran nirtunai boleh dilakukan dimana-mana sahaja. Tidak seperti dahulu, pembayaran nirtunai hanya boleh dilaksanakan sekiranya menaiki pengangkutan awam.Tetapi kini pelbagai jenis premis termasuk urusan jual-beli, pembayaran parkir mahupun di tol juga telah menyokong pembayaran secara nirtunai. Namun, adakah kita betul-betul mengetahui kebaikan dan manfaat kemajuan teknologi nirtunai kepada kita sebagai pengguna?

Akses Kewangan Mudah Menerusi Pembayaran Nirtunai
Sebelum wujudnya pembayaran nirtunai, wang kertas adalah satu-satunya kaedah untuk kita membayar di atas kaunter pembayaran. Ketika itulah apabila pergi ke pusat membeli-belah, kita akan membawa dompet yang tebal dengan wang kertas yang banyak, itu belum termasuk dengan duit syiling lagi. Secara tidak langsung, ia akan membuat kita tidak berasa selesa dengan berat dompet yang dibawa kehulu-kehilir.

Namun tahun demi tahun berlalu, tabiat membawa wang tunai yang banyak semakin berkurang selepas wujudnya kemudahan pembayaran nirtunai. Ada diantara kita yang akan menyediakan wang tunai yang secukupnya untuk pembayaran premis yang menerima tunai sahaja, pembayaran parkir atau tambah nilai Touch ‘n Go. Sejak wujudnya dompet digital ini, segala pembayaran menjadi mudah dengan hanya perlu imbas kod QR dan pembayaran menggunakan kad. Tidak perlu lagi kerap untuk mencari mesin ATM untuk mengeluarkan wang tunai.

Kalau kembali ke tahun sekitar 2000, apabila ingin membeli barang dengan harga yang mahal, perkara yang paling mencabar adalah untuk membawa wang kertas yang berjumlah sehingga beribu. Sewaktu itu, kita perlu menjaga duit itu dengan selamat daripada aktiviti jenayah ragut dan kecurian. Tapi sekarang, dengan nirtunai, pembayaran menggunakan kad MyDebit menjadikan semua transaksi lebih mudah. Hanya perlu membayar menerusi terminal, masukkan nombor PIN dan siap.
Proses Mudah Untuk Membuka Akaun Tanpa Memerlukan Bank
Masih ingatkah anda, betapa lecehnya dahulu proses untuk membuka akaun bank? Kita perlu pilih bank yang diinginkan, kemudian perlu hadir ke cawangan terdekat untuk membuka akaun simpanan. Apabila sudah siap mendaftar, barulah akan menerima pelbagai perkhidmatan lain seperti perbankan atas talian, penerimaan dan pemindahan wang, pembayaran bil dan bermacam-macam lagi. Tetapi dengan syarat kita perlu hadir ke bank dahulu untuk melalui proses ini yang melibatkan masa menunggu yang lama.

Tetapi sekarang, dengan perbankan digital yang menyokong pembayaran nirtunai, membuka akaun simpanan kini menjadi lebih senang. Anda boleh terus mendaftar untuk menerima dan memindahkan wang tanpa banyak kerenah. Antara dompet digital yang ada seperti GrabPay, Touch‘n Go eWallet, Boost yang mudah untuk didaftar serta proses pengesahan yang boleh dibuat terus dari telefon pintar. Lagi menyeronokkan, pengesahan pun tidak mengambil masa lama. Dalam kurang masa satu jam sahaja semuanya akan selesai dan anda dah boleh mula membuat pembayaran, malah kalau mahu mulakan perniagaan kecil pun tidak menjadi masalah.
Pembayaran Nirtunai Dari Sudut Pandang Pekedai Dan Penerima Bayaran
Kalau dilihat dari perspektif yang lain seperi dari sudut pekedai, membawa duit tunai untuk deposit pun ada risikonya sendiri. Keluarga terdekat saya yang mempunyai kedai alat tulis pernah diekori dan akhirnya kehilangan duit hasil jualan. Ada juga cerita pekedai lain, di mana jumlah wang dalam mesin tunai tidak selari dengan rekod, sehingga menimbul rasa curiga antara majikan dan juruwang. Semua ini sebenarnya boleh dielakkan dengan mudah kalau menggunakan pembayaran nirtunai di premis. Tidak perlu lagi rasa bimbang hendak urus jual beli kerana semuanya menjadi lebih selamat dan teratur.

Satu lagi benda yang membuatkan hidup lebih senang sekarang ialah pengguna boleh menunjukkan paparan kod DuitNow QR untuk terima pembayaran. Jauh berbeza dengan dahulu dimana kita perlu menghafal atau mencari nombor akaun untuk pembayar menaipnya. Tetapi sekarang, mahu bayar semudah imbas kod QR sahaja. Tidak perlu bersusah payah masukkan nombor akaun.Contoh mudah seperti membeli barang di pasar malam kerana ramai peniaga mula menggunakan kod QR, hanya tinggal imbas dan bayar.
Semakin Banyak Premis Dan Perkhidmatan Menyokong Pembayaran Nirtunai
Yang menariknya tentang pembayaran nirtunai ini, kita boleh lihat sendiri betapa banyak premis, kedai, dan perkhidmatan yang sudah mula menyokong kaedah ini. Pergi sahaja ke ceruk kampung pun, paparan kod QR terpampang dekat kedai, siap sedia untuk pembayaran DuitNow QR. Bukan itu sahaja, sistem pengangkutan pun sudah semakin maju dengan boleh membayar terus menggunakan Kad MyDebit, termasuklah apabila melalui tol di lebuhraya.

Lebih menarik lagi, kalau melancong ke luar negara, pembayaran nirtunai masih tetap boleh digunakan tanpa perlu menukar mata wang atau membuat tetapan tambahan. Contohnya, kalau melancong ke Thailand atau China, anda masih boleh membayar terus menggunakan dompet digital kerana sistem pembayaran nirtunai sekarang bukan saja meluas dalam negara, tapi juga di luar. Senang, bukan? Tidak perlu lagi mencari kaunter tukar duit, semuanya boleh diselesaikan dengan satu imbasan sahaja.

Integrasi Pembayaran Nirtunai Dan Pengurusan Kewangan
Salah satu kelebihan tersembunyi menggunakan pembayaran nirtunai ialah kemudahan jejak perbelanjaan, semua maklumat ada di hujung jari. Hendak menguruskan kewangan pun menjadi lebih senang. Tahukah anda, apabila bayar terus dengan nirtunai, tidak kira bank mana sekalipun, transaksi itu akan dikategorikan secara automatik.
Dengan pembayaran nirtunai, kita boleh lihat dengan jelas ke mana duit kita dibelanjakan sama ada untuk pengangkutan, makan minum, bayar bil, hutang, dan macam-macam lagi. Secara tidak langsung, ini merupakan cara baru untuk merekod perbelanjaan tanpa perlu susah payah untuk mencatat sendiri. Kewangan kita dapat diuruskan dengan mudah dan tahu bagaimana untuk berjimat. Anda juga boleh menetapkan had supaya tidak belanja secara berlebihan.

Jelas sekali, pelbagai manfaat yang boleh dinikmati jika menggunakan pembayaran nirtunai. Bukan sahaja mudah, malah ia boleh memberikan gambaran lebih jelas tentang kewangan anda. Jadi, kenapa tidak amalkan pembayaran nirtunai sekarang? Bukankah lebih mudah? Bukan sahaja Malaysia, malah sudah banyak lokasi di luar negara yang mula menyokong kaedah pembayaran nirtunai.
Jom mudahkan urusan harian dengan pembayaran nirtunai. Dengan DuitNow QR, anda boleh bayar dengan lebih pantas, selamat dan pintar tanpa tunai, tanpa sentuhan, hanya imbas dan semuanya selesai. Ketahui lebih lanjut tentang cara pembayaran digital ini yang akan memudahkan kehidupan seharian anda.
Penafian: Advertorial daripada Paynet.

