
Oleh Muhammad Haziq Roshidi
SHAH ALAM, 3 JULAI: Penerima sumbangan Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI mahu memanfaatkan bantuan tersebut untuk mengembangkan lagi bakat sehingga ke peringkat antarabangsa.
Atlet lawan pedang Selangor, Saif Nordin, 15, berkata beliau bersyukur terpilih menerima bantuan tersebut yang disifatkan memudahkan lagi perjalanan kerjayanya.
“Sokongan ini sangat bagus kerana saya boleh menggunakannya untuk sertai lebih banyak pertandingan, terutama di pertandingan antarabangsa di mana saya boleh mendapatkan ranking dunia.

“Dari situ saya akan lebih dekat dengan cita-cita saya untuk menyertai sukan Olimpik 2032 Brisbane,” katanya pada Program Serahan Sumbangan Yayasan MBI di sini, hari ini

Terdahulu, Ketua Yayasan Ahmad Azri Zainal menyampaikan sumbangan kepada 14 atlet muda dari sukan motosikal, lawan pedang, golf dan badminton termasuk persatuan hoki negeri dengan peruntukan sebanyak RM110,000.
Atlet sukan permotoran, Sharf Muhriz Farhan, 15, yang bercita-cita menyertai MotoGP suatu hari nanti berkata beliau berbesar hati menerima bantuan dan sokongan MBI.

“Sumbangan ini akan memudahkan saya membuat persiapan berdepan dua pertandingan besar di dalam negara dan Jepun pada Ogos dan September nanti,” katanya.
Pemain golf, Raja Muhammad Syakir Raja Mohd Sukry, 12, berkongsi perasaan sama mengatakan beliau teruja apabila usahanya dihargai MBI.
“Saya kini berlatih selepas waktu sekolah dalam dua minggu sekali demi mencapai cita-cita saya untuk sertai persatuan golf profesional,” katanya.
The post Manfaat sumbangan MBI sertai pertandingan, cipta nama peringkat dunia appeared first on Selangorkini.

