Mangsa Amang Seksual Adalah Peminat Artis Popular Itu – Polis

Entertainment
13 Jun 2025 • 5:17 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Minggu lepas, hangat diperkatakan di media sosial mengenai isu artis lelaki yang juga merupakan seorang pelakon dan penyanyi popular telah melakukan amang seksual terhadap seorang remaja berusia 17 tahun.

Perkara itu membuatkan ramai berspekulasi mengenai identiti selebriti berkenaan termasuklah pendedahan daripada Presiden Seniman yang tidak menyangka artis tersebut terlibat dengan kes ini.

Menerusi perkembangan terkini, polis memaklumkan remaja yang juga pelajar sekolah yang disyaki menjadi mangsa amang seksual merupakan peminat kepada artis tersebut.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan mendapati mangsa pernah bertemu sebanyak dua kali sebelum ini dalam acara dipercayai konsert selebriti itu.

Katanya, kelakuan amang seksual terbongkar selepas laporan dibuat oleh ibu mangsa.

image is not available

“Kami percaya mangsa memang peminat (kepada selebriti itu). Daripada perjumpaan di beberapa venue, itu yang mereka boleh kenal.

“Mereka juga sebelum ini ada berjumpa dua kali dalam konsert selebriti itu,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Polis menegaskan, pihaknya masih menunggu keputusan lanjut daripada Timbalan Pendakwa Raya selepas kertas siasatan diserahkan sebelum ini.

Terdahulu, media melaporkan artis itu ditahan pada 3 Jun lalu selepas disyaki melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel di Selangor.

Suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangannya dan kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792).

Sumber: Kosmo!

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.