Mangsa banjir berhabis puluhan ribu ringgit tinggikan kawasan rumah

28 Oct 2022 • 5:35 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

ALOR GAJAH: Kamarudin Mohd Sab berhabis puluhan ribu ringgit bagi meninggikan kawasan rumahnya untuk mengelak dinaiki air akibat banjir, namun air tetap melimpah masuk ke rumahnya kerana bencana itu sering berlaku setiap tahun.

Kamarudin, 60, dari Kampung Pengkalan di sini berkata sejak menduduki rumah itu lima tahun lepas, dia menambak kawasan rumah dan meninggikan bahagian hadapan rumahnya setinggi lima kaki daripada tapak asal.

Katanya, dalam tempoh itu juga bencana banjir berulang kali berlaku sekurang-kurangnya dua kali setahun, malah aras air pernah mencecah ke paras leher.

“Dulu rumah ini rendah, lepas itu saya tambak sikit kawasan dan naikkan sedikit...dulu bekerja adalah duit untuk naikkan rumah ini tetapi kini terpaksa reda. Air banjir tetap masuk ke rumah dan nampak macam tiada kesudahannya dan inilah yang perlu saya hadapi setiap tahun.

“Rumah saya berdekatan dengan Sungai Pengkalan dan juga parit, jadi kalau hujan lebat dalam tempoh yang lama memang air akan melimpah ke dalam rumah,“ katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kampung Pengkalan di sini hari ini.

Kamarudin yang tinggal bersama dua anak dan seorang menantu di rumah berkenaan sentiasa dalam keadaan takut dan berjaga-jaga untuk menyelamatkan barangan berharga terutama apabila hujan lebat.

Bagi R. Baskal, 51, berkata dia dan keluarga hanya sempat meraikan Deepavali di rumahnya di Jalan Kereta Api Lama di sini pada Isnin sebelum terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pengkalan selepas rumah dinaiki banjir kira-kira 3 pagi pada Selasa.

“Hari kedua Deepavali, air banjir masuk ke dalam rumah ketika sedang tidur tetapi kami sempat keluar selamatkan diri ke PPS sebelum ia meningkat ke paras dada. Barang ada yang sempat alih ke tempat tinggi dan ada yang tidak basah...(ada juga yang) tidak dapat diselamatkan,“ katanya.

Baskal berkata kerja-kerja membersihkan rumahnya itu mengambil masa yang agak lama kerana kediamannya itu turut disaluti lumpur yang tebal.

Sementara itu, Nur Syuhada Abd Razak, 35, yang ditemui di PPS sama berkata dia bersama suami Abdul Hakim Kamalludin, 43, dan tiga anak terpaksa berpindah ke PPS itu selepas rumah mereka dinaiki air akibat hujan lebat dalam tempoh yang lama.

“Saya berpindah ke PPS kira-kira pukul 5 petang dan yang penting ialah selamatkan anak-anak dahulu. Walaupun memang sentiasa sedia dengan bencana banjir ini tetapi penat. Saya dah lapan tahun tinggal di Kampung Pengkalan dan sangat berharap ada jalan penyelesaian untuk atasi isu banjir ini,“ katanya.

Setakat 12 tengah hari tadi, sebanyak empat PPS dibuka di negeri ini membabitkan tiga di Alor Gajah dan satu di Melaka Tengah melibatkan 224 mangsa daripada 60 keluarga.-Bernama