Mangsa banjir di Selangor, Perak, Perlis menurun

7 Dec 2022 • 1:47 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

Oleh DIANA ABD WAHAB

HULU SELANGOR, 7 DIS: Keadaan banjir di Kampung Bukit Changgang, Banting semakin pulih apabila hanya empat keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

Setakat jam 8 pagi tadi, jumlah mangsa banjir di PPS dewan orang ramai kampung itu menurun kepada 13 orang berbanding 37 orang pagi semalam.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menerusi Facebook memaklumkan jumlah keseluruhan mangsa banjir membabitkan 64 orang yang berlindung di tiga PPS di Selangor, Perak dan Perlis.

Selain Selangor yang beransur pulih, mangsa banjir di Perak kini 47 orang daripada 10 keluarga dan ditempatkan di sebuah PPS.

Manakala di Perlis, empat orang masih berada di sebuah PPS yang beroperasi.

Sementara itu, Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor memaklumkan paras air di dua sungai naik melebihi paras waspada.

Paras air di Sungai Binjai di pekan Meru Klang, mencatatkan peningkatan 0.09 meter (m) daripada 3.49 m manakala Sungai Langat di JPS Sungai Manggis Kuala Kangat paras air direkodkan adalah 2.33m meningkat 0.13m.