Mangsa kedua lemas di Pantai Sura Tengah ditemukan

2 Jan 2026 • 11:31 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anggota Pasukan penyelamat ketika melakukan operasi mencari dan menyelamat seorang lagi mangsa lemas di Pantai Sura Tengah, pada Khamis. Foto Bernama

DUNGUN - Mangsa kedua yang lemas ketika mandi bersama ahli keluarganya di Pantai Sura Tengah dekat sini semalam, ditemukan malam tadi.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, Mohd Fazir Shafie, 37, ditemukan terdampar di pantai oleh anggota pasukan penyelamat pada jam 12.35 tengah malam kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk bedah siasat pagi ini,” katanya semasa dihubungi pada Jumaat.

Pada jam 10.27 pagi semalam, Mohd Fazir, pemandu lori dari Kuantan, Pahang dikatakan cuba menyelamatkan kakaknya Nor Baizura, 39, yang lemas ketika mandi sebelum mereka dihanyutkan arus.

Nor Baizura, suri rumah dari Johor Bahru, Johor ditemukan lemas oleh anggota penyelamat pada jam 10.54 pagi hari sama.

Kejadian berlaku semasa dua beradik itu yang pulang ke kampung sempena cuti Krismas berkelah di pantai itu bersama-sama 13 ahli keluarga. - Bernama