
TAWAU: Mahkamah Tinggi Tawau pada Rabu diberitahu bahawa punca kematian pemandu e-hailing yang mati dibunuh Januari tahun lalu, adalah akibat luka tajam pada leher.
Perkara itu dinyatakan Pakar Patalogi Forensik di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu, Dr. Muhammad Uzair Ahmad Suriani, 37, pada hari ketujuh perbicaraan kes membabitkan bekas Ketua Staf Perisikan ESSCOM, Datuk Mat Zaki Md Zain, 58, bersama enam pegawai dan anggota polis serta seorang wanita.
Perbicaraan dijalankan di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol.
Saksi ke-19 itu berkata, beliau menemui terdapat 21 luka kecederaan hasil pemeriksaan luaran pada jasad si mati semasa melakukan proses bedah siasat pada 18 Januari 2023 di Unit Perubatan Forensik Hospital Tawau.
SPONSORED CONTENT RM20bil green steel project: Sabah on its way to adopting green technology, says Hajiji Kota Kinabalu: Chief Minister Datuk Seri Hajiji Noor said Sabah is well on its way to fully adopting the green technology revolution with a RM20 billion green steel project at the Sipitang Oil and Gas Industrial Park (Sogip). Read more Menurutnya, kesan luka pada leher si mati sedalam sembilan sentimeter (cm) merupakan penyebab kepada kematiannya apabila luka itu memutuskan struktur utama pada lehernya iaitu saluran darah vena jugalar sebelah kiri, arteri carotid dan tulang rawan cricoid terputus sepenuhnya.
Beliau menjawab demikian kepada pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Mohammad Fakhrurrazi Ahmad yang bertanyakan punca kematian mangsa serta memintanya menerangkan kenapa luka tersebut boleh menyebabkan kematiannya.
Kepada soalan adakah mangsa boleh diselamatkan jika diberi rawatan segera, Dr. Uzair berkata, pada pendapatnya mangsa tidak dapat diselamatkan kerana luka berkenaan memutuskan salur-salur utama darah pada leher.
Malah, katanya, luka berkenaan cukup untuk menyebabkan kematian si mangsa.
Beliau juga memberitahu dapat mengesahkan mayat yang dibedah-siasatnya itu merupakan Nurman Bakaratu (mangsa) berdasarkan analisa cap jari dan profil DNA hasil laporan kimia spesimen anak perempuan kandung mangsa, Nurima Juli (bekas isterinya) dan spesimen keratan kuku mangsa.
Sementara itu, dalam penyataan bertulis saksi, beliau menyatakan kecederaan pada lengan kanan, belakang tangan kiri dan tapak tangan kiri mangsa adalah berpadanan dengan kecederaan sebelum kematian dan bersesuaian dengan kecederaan mempertahankan diri akibat objek tajam.
Manakala, kecederaan-kecederaan lain adalah sukar untuk dikenalpasti samada berlaku sebelum kematian kerana proses pembusukan dan infestasi ulat-ulat.
Katanya, anggaran tempoh kematian daripada tarikh bedah-siasat adalah empat hingga enam hari berdasarkan pembusukan mayat.
Mayat mangsa sudah membengkak dan menggelembung kerana proses pembusukan dan terdapat ulat-ulat di pakaian dan keseluruhan anggota badan mangsa.
Menjawab soalan pemeriksaan balas peguam Datuk Ansari Abdullah samada darah akan memercik ke bumbung kereta Myvi berdasarkan luka tersebut, jika mangsa duduk di kerusi pemandu, saksi itu menyatakan perkara itu bergantung kepada kedudukan mangsa ketika luka terjadi.
Kepada soalan peguam Datuk Ram Singh, berapa lama seseorang yang mengalami kecederaan sedemikian akan hidup atau selamat, saksi itu berkata kecederaan pada salur darah utama di leher kiri menyebabkan pendarahan teruk dan kematian yang cepat.
Saksi juga menjawab luka pada leher yang menyebabkan pendarahan teruk walaupun tidak menyebabkan kematian serta-merta, boleh menyebabkan si mati lemah dan tidak bermaya, justeru beliau tidak dapat memastikan samada mangsa meninggal di dalam atau di luar kereta.
Beliau menjawab soalan pemeriksaan Ram sekiranya mangsa mampu berjalan keluar dari Myvi dan rebah (selepas luka).
Tertuduh, bekas Ketua Staf Perisikan ESSCOM, Datuk Mat Zaki Md Zain, 58, berdepan dua pertuduhan bersubahat dengan enam tertuduh lain - Rosdi Rastam, 44, Dennis Ak Enit, 44, Fabian Ak Rungan, 43, Khairul Azman Bakar, 47, Mohd Azlan Sakaran, 39, dan Vivien Fabian, 34 (orang awam) membunuh Nurman Bakaratu, 61, di sebuah ladang kelapa sawit berdekatan Jalan Anjur Juara, Jalan Apas Batu 5 di antara 7.30 - 11.30 malam pada 13 Januari 2023.
Mat Zaki turut dituduh bersubahat dengan John Kennedy Ak Sanggah membunuh mangsa pada masa dan lokasi sama.
Dia dituduh di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun dan disebat tidak lebih 12 kali, jika sabit kesalahan.
Tujuh tertuduh lain pula didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Akta yang sama yang membawa hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun dan dikenakan sebat tidak lebih 12 kali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan diketuai DPP Khairul Azreem Mamat bersama pasukannya terdiri daripada Rohaiza Abd Rahman; Lina Hanini Ismail; Mohammad Fakhrurrazi Ahmad dan Low Win Hui.
Tertuduh; Rosdi diwakili Datuk Ansari Abdullah dan Erveena Ansari; Dennis (Hairul Vaiyron dan Luke Ressa Balang); Fabian (Sharata Masyaroh John Ridwan Lincon, Zahbia Ophent dan Mohamad Zairi Zainal Abidin).
Vivien, John, Khairul Azman, Datuk Mat Zaki dan Mohd Azlan diwakili Datuk Ram Singh dan Kamarudin Mohmad Chinki.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
