SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menghormati tindakan mangsa terjejas dalam insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya untuk menuntut hak mereka termasuk melalui saluran perundangan yang sah.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, kerajaan negeri telah mengambil pelbagai langkah sewajarnya bagi membantu mangsa khususnya mereka yang mengalami kerosakan kediaman teruk.
Menurutnya, sebarang tuntutan atau ketidakpuasan hati wajar disalurkan melalui saluran yang tepat agar dapat ditangani secara adil dan teratur.
"Kita telah buat segala tindakan untuk membantu penduduk, namun pada masa sama menghormati tindakan serta tuntutan daripada mereka yang mungkin terjejas.
"Kalau ada yang mahu mengambil tindakan lanjut termasuk dari segi perundangan, itu adalah hak mereka dan kita hormati," katanya ketika ditemui semasa Majlis Pelancaran Semula Giant Stadium Shah Alam di Seksyen 13 di sini.
Mengulas lanjut, Mohd Najwan memaklumkan, kerajaan negeri turut menubuhkan jawatankuasa penyiasatan bebas bagi meneliti insiden berkenaan.
Katanya, hasil siasatan itu dijangka diumumkan dalam masa terdekat.
"Kita sudah tubuhkan jawatankuasa penyiasatan bebas dan keputusan akan diumumkan tidak lama lagi,” ujarnya.
Sinar Harian pada Rabu melaporkan, rata-rata penduduk mengakui masih menderita dan menanggung trauma kerana belum dapat menduduki rumah masing-masing yang belum dibaik pulih meskipun genap setahun kejadian berkenaan.
Penduduk menyatakan rasa tidak puas hati berhubung isu kediaman mereka termasuk berkaitan proses pembaikan dan dokumen seperti Surat Setuju Terima (SST).


