
MANJUNG - Lelaki yang ditemui rentung di sebuah rumah di Taman Muhibbah 2 dekat Sitiawan di sini pada Rabu disyaki dibunuh sebelum kediaman itu dibakar.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, siasatan mendapati, ada saksi melihat kehadiran seorang lelaki dikenali masuk ke dalam rumah itu dan mendengar bunyi hentaman di ruang tamu.
Menurutnya, saksi juga melihat lelaki sama keluar dari rumah dan kembali semula dengan membawa dua bekas mengandungi cecair disyaki petrol.
"Saksi kemudiannya menyedari bahawa berlaku kebakaran di rumah tersebut.
"Bertindak atas maklumat itu, polis menahan suspek berhampiran tempat kejadian pada hari sama," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.
Beliau berkata, polis menerima maklumat kejadian itu daripada orang awam pada jam 2.39 pagi.
Katanya, kebakaran berlaku melibatkan ruang tamu rumah dan berjaya dikawal anggota bomba.
"Pemeriksaan dilakukan menemui mangsa tertiarap di bahagian itu dalam keadaan rentung.
"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat," katanya.
Hasbullah berkata, suspek direman selama tujuh hari sehingga 1 Oktober depan untuk siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Azalan Ab Karim di talian 019-392 7837 atau menerusi Bilik Gerakan IPD Manjung 05-6886222.
Sinar Harian melaporkan, dalam kebakaran itu, mangsa dikenali Muhammad Khairul Ridzuan Muhamad Taib, 46, ditemui dalam keadaan rentung di bahagian ruang tamu rumah, manakala tujuh ahli keluarga lain terselamat.


