
SHAH ALAM, 9 OGOS: Mangsa rogol yang berada di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menjalani proses pemulihan selama 12 bulan bagi memastikan mereka menerima sokongan secara menyeluruh.
Pengarah JKM Selangor Azmir Kassim berkata tempoh pemulihan itu bagaimanapun boleh berubah sekiranya mangsa didapati hamil kerana mereka perlu menjalani proses berkenaan sehingga selesai bersalin.
Beliau berkata, sekiranya kes dilaporkan kepada JKM, pegawai pelindung akan memohon perintah mahkamah di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 bagi menempatkan kanak-kanak di tempat selamat atau perlindungan untuk tujuan intervensi, perlindungan dan pemulihan.
“Sekiranya dilaporkan ke JKM, pegawai pelindung akan memohon perintah mahkamah di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 bagi menempatkan kanak-kanak di tempat selamat atau perlindungan bagi tujuan intervensi, perlindungan dan pemulihan,” katanya kepada Media Selangor.
Azmir berkata JKM turut menyediakan khidmat kaunseling kepada mangsa melalui kaunselor jabatan selain menempatkan mereka di rumah perlindungan bagi mengikuti program intervensi serta pemulihan yang disediakan.
“Biasanya mengikut akta 12 bulan tetapi jika ada kaitan dengan mengandung, ia sehingga selesai bersalin. Mangsa boleh ditempatkan dalam rumah perlindungan JKM dan mengikuti program intervensi serta pemulihan yang sedia ada dalam institusi,” katanya kepada Media Selangor.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan pelbagai cabaran dalam mengendalikan mangsa rogol sehingga ada yang menyembunyikan maklumat berikutan khuatir diancam pelaku atau dipersalahkan.
“Antara cabaran lain sukar mengenal pasti latar belakang sebenar dan punca kejadian selain mangsa berada dalam keadaan trauma, takut, keliru atau malu untuk bercerita.
“Ada juga mangsa enggan memberi kerjasama atau menyembunyikan maklumat penting dan maklumat tidak lengkap menyukarkan penilaian kes dan penyediaan intervensi,” katanya lagi.
Tambah beliau, proses pemulihan mengambil masa dalam membina kepercayaan dan keyakinan mangsa selain memerlukan kemahiran komunikasi serta pendekatan yang sensitif.
Terdahulu, EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari memaklumkan sebanyak 1,845 kes rogol membabitkan kanak-kanak direkodkan antara 2021 hingga tahun lalu, sekali gus menjadikannya jenayah seksual paling banyak dilaporkan dalam tempoh berkenaan.
Beliau berkata, jumlah kes tertinggi direkodkan pada 2023 dengan 397 kes, diikuti 389 kes pada 2024, 376 kes (2025), 365 kes (2022) dan 318 kes (2021).
Menurutnya, amang seksual fizikal merupakan kesalahan kedua tertinggi membabitkan jenayah seksual terhadap kanak-kanak dengan 1,654 kes direkodkan dalam tempoh sama, meningkat 70 peratus berbanding 2021.
Dalam tempoh itu juga, sebanyak 156 kes amang seksual bukan fizikal, 42 kes memiliki bahan lucah kanak-kanak dan 24 kes menghasilkan atau mengedarkan bahan lucah kanak-kanak direkodkan.





