JOHOR BAHRU - Manifesto Pakatan Harapan (PH) telah dimuktamadkan dan dijangka diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam beberapa hari lagi.
Setausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, manifesto sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 itu menepati kehendak rakyat Johor termasuk menyentuh kebajikan belia.
"Tidak lama lagi, sehari dua ini. Insya-ALLAH sudah final. Manifesto ini akan menepati kehendak rakyat Johor termasuk menyentuh kebajikan belia," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Kilang Roti SDS Manufacturing di Bukit Kempas di sini pada Selasa.
Bagaimanapun, beliau meminta semua pihak menunggu pengumuman rasmi manifesto tersebut yang akan dilancarkan dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, mengulas mengenai calon Menteri Besar Johor bagi PH, Fuziah berkata gabungan itu kekal dengan pendirian untuk tidak mengumumkan nama calon tersebut.
“Saya rasa tak perlu kita umumkan, sebab kalau di Johor ini, umum siapa pun, akhirnya tidak semestinya orang itu jadi. Yang penting, prestasi itu bagus,” katanya.






