Mansuh Akta Hasutan, perkenal Akta Keharmonian Nasional

LocalPolitics
28 Nov 2026 • 3:35 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Mansuh Akta Hasutan, perkenal Akta Keharmonian Nasional

PETALING JAYA: Kerajaan digesa memansuhkan Akta Hasutan 1948 dan menggantikannya dengan Akta Keharmonian Nasional bagi memastikan keharmonian kaum dan agama di negara ini terus terpelihara.

Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo berkata, Akta Hasutan terdedah kepada risiko penyalahgunaan termasuk dijadikan instrumen untuk menyekat perbezaan pandangan.

Katanya, cadangan itu susulan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat bahawa tiada alternatif bersesuaian bagi menggantikan akta berkenaan.

“Perlindungan keharmonian kaum, sensitiviti agama dan institusi diraja penting, namun mengekalkan undang-undang lapuk era penjajahan bukan satu-satunya atau kaedah terbaik untuk mencapainya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Gobind berkata, Malaysia sudah mempunyai  beberapa peruntukan undang-undang untuk menangani kesalahan berkaitan termasuk Seksyen 298, 298A, 504 dan 505 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Keselamatan Dalam Talian 2025.

Justeru, katanya, Akta Keharmonian Nasional wajar diperkenalkan dengan memberi penekanan khusus terhadap jenayah kebencian berasaskan kaum dan agama serta aspek keharmonian dan perdamaian nasional.

“Akta itu perlu menetapkan takrifan yang jelas mengenai ucapan dan jenayah kebencian selain menyediakan mekanisme mediasi pemulihan.

“Undang-undang berkenaan juga perlu melindungi semua komuniti tanpa menjadikan perbahasan politik yang dilakukan dengan niat baik sebagai kesalahan jenayah,” katanya.

Pada 2012, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah mengumumkan pemansuhan Akta Hasutan dan menggantikannya dengan Akta Keharmonian Nasional.

Susulan itu, Majlis Perundingan Perpaduan Negara pada 2014 mengemukakan tiga draf rang undang-undang berkaitan jenayah kebencian kaum dan agama, keharmonian dan perdamaian nasional serta penubuhan suruhanjaya bagi menyiasat aduan.

Bagaimanapun, kerajaan ketika itu memutuskan untuk mengekalkan dan memperkukuh Akta Hasutan

Januari lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan penggunaan akta tersebut akan diminimumkan selagi masih berkuat kuasa sementara kerajaan menjalankan kajian terhadapnya.

Pemansuhan Akta Hasutan merupakan antara komitmen Pakatan Harapan (PH) menerusi Janji 27 Manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang menyasarkan pemansuhan undang-undang bersifat menindas.

April lalu, Gobind menegaskan DAP tidak pernah berganjak daripada pendiriannya untuk memansuhkan akta itu, namun perbezaan pandangan antara parti dalam Kerajaan Perpaduan menghalang janji tersebut daripada ditunaikan. – UTUSAN

The post Mansuh Akta Hasutan, perkenal Akta Keharmonian Nasional appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved